John Terry membidas semua pengkritik yang menyifatkan Chelsea sebagai  pasukan tua, sejurus selepas menyaksikan sumbangan orang lama Blues  membawa mereka merangkul kejuaraan Piala FA buat kali keempat dalam  tempoh enam musim dengan menundukkan Liverpool 2-1 di Wembley, kelmarin. 
 Sebelum ini, ramai yang menggesa mereka menyingkirkan pemain tua  seperti Frank Lampard, Didier Drogba dan John Terry, malah pengurus  terdahulu mereka, Andre Villas-Boas juga pernah bercadang untuk  melupuskan semua pemain ini daripada pasukan, sebelum dia sendiri  disingkirkan, Mac lalu.
 Namun begitu, pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo tetap  memberikan keyakinan kepada semua orang lama yang sudah menjangkau usia  30an itu, dan mereka membalas kepercayaan itu dengan menghadiahkan  gelaran sulung musim ini. 
 Jaringan Drogba dan Ramires kelmarin membantu Chelsea menjulang  Piala FA, kejayaan yang pasti tidak diduga andai melihat kepada  kedudukan kelab London itu yang agak terumbang-ambing pada pertengahan  musim, sebelum Villas Boasn disingkir dan Di Matteo mengisi kekosongan  buat sementara waktu. 
 “Kami mengharungi saingan yang sukar dalam Piala FA musim ini dan kami berjaya memenanginya. Ia adalah persembahan yang hebat.
 “Pada suatu ketika, ramai orang yang menggelar kami sebagai terlalu  tua, sudah melepasi zaman kegemilangan dan tidak lagi bersatu, namun  hari ini kami membuktikan semua kritikan itu adalah salah. Sebagai  sebuah pasukan, kami amat bersatu, kami bersama-sama mempertahankan  benteng apabila diasak, kami bermain baik dalam 16 atau 17 perlawanan  terakhir yang cemerlang. 
 “Kami masih berada di landasan untuk memburu kejuaraan paling besar -  Liga Juara-Juara, itu adalah sasaran pemilik kelab yang masih belum  dilaksanakan,’’ kata Terry. 
 Terry juga berharap, semua pemain mahu membalas kepercayaan Di  Matteo dan berharap apa yang telah dipersembahkan oleh pasukan setakat  ini mampu membantu jurulatih itu untuk dilantik sebagai jurulatih tetap.[sumber]  
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan