Pasukan bimbingan Roberto di Matteo akan bertemu  Liverpool di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris, esok dengan  meletakkan harapan baru untuk menamatkan saingan di tangga empat teratas  sekali gus menjamin kedudukan dalam kelayakan Liga Juara-Juara.
Dua pasukan itu akan bertemu hanya tiga hari selepas perlawanan akhir  Piala FA yang menyaksikan Chelsea menjulang kejuaraan itu buat kali  ketiga dalam tempoh empat tahun dengan kemenangan 2-1 di Wembley,  kelmarin.
Liverpool sudah tentu mahu menebus maruah mereka pada pertemuan  semula itu manakala anak-anak buah di Matteo pula diberi harapan baru  setelah Newcastle dan Tottenham gagal mengutip mata penuh.
Jika salah sebuah pasukan menang hujung minggu lalu, harapan Chelsea  untuk menamatkan saingan di tempat keempat dalam Liga Perdana pasti akan  berkubur.
Situasi itu mendesak kelab Stamford Bridge untuk memenangi perlawanan  akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich bagi memastikan peluang  mereka beraksi dalam pertandingan kelab elit dan sekali gus, meletakkan  kelab England yang berada di kedudukan keempat bermain dalam Liga  Europa.
Namun, Chelsea masih berpeluang sekali pun tewas dalam perlawanan  akhir Liga Juara-Juara jika berjaya meraih di kedudukan keempat.
Hasrat itu mampu direalisasikan jika mereka menumpaskan Liverpool dan  Blackburn dalam dua perlawanan terakhir liga dan Tottenham serta  Newcastle pula gagal mengalahkan Fulham dan Everton, Ahad ini.
"Agak pelik apabila kami terpaksa sekali lagi bertemu mereka  (Liverpool) secepat ini. Tetapi kami masih mempunyai dua perlawanan liga  sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan kami mahu menamatkan  saingan di kedudukan terbaik.
"Lebih mudah bertandang ke Anfield dengan kemenangan berbanding jika kami kalah," kata pemain tengah Chelsea, Frank Lampard.Keyakinan tinggi telah banyak membantu Chelsea dan peluang beraksi di  final Liga Juara-Juara merupakan satu suntikan moral buat mereka.
"Kami akan meneruskan perjuangan ini dengan keyakinan diri dan harap ia akan berterusan sehingga ke final Liga Juara-Juara."Kami masih ada sebuah trofi yang menjadi buruan, siapa yang tahu  nasib kami? Memang seronok dapat meneruskan kemaraan dan beraksi dalam  satu lagi aksi akhir yang berkesudahan dengan kemenangan," ujar Lampard.
Chelsea yang tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada  Manchester United pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2008 di Moscow,  tidak pernah memenangi kejuaraan Eropah terunggul itu dan Lampard  berkata: "Ia amat besar, kami telah beberapa kali menghampiri kejuaraan  dan semua orang dalam kelab termasuk penyokong amat terdesak untuk  memenangi trofi ini."
Ramires dan Didier Drogba merupakan penjaring gol di Wembley dan  Ramires hampir pasti diturunkan di Anfield manakala Drogba mungkin  direhatkan bagi membuka laluan kepada Fernando Torres diletakkan dalam  kesebelasan utama menentang kelab lamanya itu.
Bagi pengurus Liverpool, Kenny Dalglish, dia bakal memikul tugas  berat untuk menaikkan kembali semangat anak-anak buahnya selepas tewas  pada perlawanan akhir Piala FA.
Beraksi hambar pada sejam pertama perlawanan, Reds berjaya  bangkit di Wembley setelah membawa masuk penyerang, Andy Carroll yang  menjaringkan satu gol, sementara jaringan gol penyamaan pula berjaya  dinafikan penjaga gol Chelsea, Petr Cech.
Kapten Liverpool, Steven Gerrard telah mula mengintai peluang Reds  musim depan yang kali terakhir menjulang gelaran liga Inggeris kali  ke-18 pada 1990, menjelaskan pasukannya kini terdesak memperbaiki aksi  hambar dalam saingan liga.
"Kami beraksi hebat dalam perebutan trofi tahun ini (Liverpool  memenangi Piala Liga sebelum tewas pada final Piala FA) dan para pemain  berhak diberi pujian atas usaha mereka itu," kata Gerrard.Bagaimanapun, pemain tengah England itu menambah: "Kami tidak bermain  cukup bagus dalam aksi liga tahun ini. Kami berhak dikritik dan kami  perlu menerima kritikan tersebut."[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
2 Pengulas Sukan:
Harap boleh pintas 2 team tu lagi bro..
kena menang la pg ni....hrp spurs dan newcstle kalah last game..
Catat Ulasan