Pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo memberi amaran kepada  pencabar utamanya bahawa The Blues kini berada pada kemuncak prestasi  bagi memburu slot Liga Juara- Juara musim depan.
Biarpun ketika ini menghuni tangga keenam Liga Perdana England,  Chelsea hanya ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga  ketiga, Arsenal yang telah beraksi lebih satu perlawanan berbanding The  Blues.
Tatkala dua jiran setempat - Manchester United dan Manchester City -  bersaing merebut dua kedudukan teratas, Arsenal, Tottenham Hotspur,  Newcastle United dan Chelsea pula berentap memburu tangga ketiga dan  keempat.
Mengikut perkiraan matematik, Chelsea mampu menamatkan saingan liga  musim ini di tangga ketiga jika meraih kemenangan dalam tiga perlawanan,  manakala pencabar mereka keciciran mata.
Lebih menarik, Chelsea akan layak secara automatik pada kempen Liga  Juara- musim depan jika muncul juara dengan menewaskan Bayern Muncih  pada aksi final di Allianz Arena, 19 Mei ini.
Meskipun telah mengesahkan slot ke final Liga Juara- Juara, Di Matteo  turut mengingatkan anak-anak buahnya untuk menempatkan diri dalam  kelompok empat terbaik pada kempen liga domestik musim ini.
"Ia sangat baik untuk pasukan apabila pemain-pemainnya mempunyai  keyakinan yang tinggi dan setiap pemain mahu beraksi. Setiap pemain  sangat yakin dan ia sangat penting untuk menempah kejayaan.
"Selalunya selepas menghadapi perlawanan dalam Liga Juara-Juara,  saingan pada Liga Perdana England akan menjadi lebih sukar," jelas Di  Matteo.
Selepas berjaya menyingkirkan Barcelona pada aksi separuh akhir  minggu lalu, Chelsea meneruskan momentum kemenangan apabila membelasah  Queens Park Rangers (QPR) 6-1 di Stamford Bridge, Sabtu lalu.
"Kemenangan ke atas QPR agak memeranjatkan saya. Saya hanya  mengharapkan prestasi yang baik untuk pasukan tetapi tidak menjangkakan  kemenangan besar itu. 
"Para pemain telah beraksi dengan sangat hebat. Saya gembira melihat  semangat berpasukan dalam diri setiap pemain," jelas Di Matteo. 
Di Matteo turut memuji prestasi penyerang, Fernando Torres yang meledak hatrik ketika menentang QPR."Saya gembira dengan sumbangan yang diberikan Torres pada perlawanan Sabtu lalu."Dia selalu berusaha keras untuk pasukan dan sentiasa bersedia untuk membantu," katanya.[sumber]
 


 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan