29 Februari 2012

Andre Villas-Boas bimbang dipecat

Andre Villas-Boas mengaku tidak pasti masih memiliki sokongan pemilik Chelsea, Roman Abramovich dan bimbang kemungkinan beliau dipecat seperti pengurus sebelum ini, Carlo Ancelotti pada Mei tahun lalu.

“Kami kini berdepan situasi sama seperti tahun lalu,” kata Villas-Boas yang dikecam hebat kerana prestasi kurang memberangsangkan anak buahnya.

“Saya fikir Abramovich masih yakin dengan kemampuan saya namun tindak-tanduk pemilik mendorong kejatuhan seseorang pengurus dan situasi seakan sama atau ‘lebih’ baik berbanding tahun lalu.

“Apakah tindakan yang akan diambil? Mungkin beliau terus menyokong perancangan awal atau situasi akan berlaku seperti sebelum ini. Kami tidak tahu.” Kedudukan Villas-Boas terancam beberapa minggu lalu berikutan kemerosotan prestasi Chelsea dan media mendakwa beliau turut berbalah dengan beberapa pemain.

Ini kali pertama pengurus berusia 34 tahun itu meragui masa depannya di Stamford Bridge dalam temubual dengan stesen radio Portugal, TSF radio.

Villas-Boas sebelum ini yakin disokong Abramovich dan menyatakan, mereka komited terhadap idea projek tiga tahun yang dirancangnya.

Bila ditanya sama ada berminat kembali ke Porto, kelab Portugal yang menjulang tiga kejuaraan musim lalu di bawah kendaliannya, Villas-Boas berkata, beliau hanya menumpukan perhatian kepada Chelsea.

“Saya masih bersemangat untuk melaksanakan tugas diberikan dan tidak berminat untuk berpindah ke Porto,” jelasnya.

Kejayaan menewaskan Bolton Wanderers, 3-0 pada aksi Liga Perdana, Sabtu lalu menjadi kemenangan pertama selepas enam perlawanan dalam semua pertandingan.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...