John Terry berikrar akan terus bermain untuk England selepas mendapat sokongan daripada pengurus pasukan, Fabio Capello.Terry dilucutkan daripada tugas ketua pasukan oleh Persatuan Bola  Sepak (FA) England kerana perbicaraannya mengenai isu perkauman dengan  pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand masih tergantung.Perkembangan tersebut mendorong dia mempertimbangkan untuk mengakhiri karier bersama England selepas memiliki 72 cap untuk skuad kebangsaan.
Bagaimanapun Capello menyokong Terry dan menegaskan, pemain itu  sepatutnya dibenar mengekalkan lilitan ketua pasukan, kenyataan yang  menukar fikiran pemain pertahanan berusia 31 tahun itu secara dramatik  untuk terus bersama skuad kebangsaan.
Seorang sumber rapat kapten Chelsea itu mendedahkan: "John berasa amat terseksa selepas dilucutkan sebagai kapten. 
"Dia memikirkan sama ada mahu berundur sebagai pemain dan mengakhiri kariernya bersama England. 
"Begitupun selepas mendapat sokongan padu daripada Capello, dia mula  merubah fikiran. Selagi England mahukan khidmatnya, John akan terus  menyarung jersi skuad kebangsan dengan bangga."
Terry kini menyiapkan dirinya untuk membawa cabaran England dalam  perlawanan persahabatan menentang Belanda pada 29 Februari ini dan  beraksi pada Kejohanan Eropah (Euro) 2012, musim panas ini. 
Capello dalam satu temu bual dengan televisyen Itali menyelar  tindakan majikannya, FA melucutkan Terry daripada menjadi kapten,  sedangkan pemain itu belum didapati bersalah kerana perbicaraannya hanya  akan berlangsung pada 9 Julai ini. 
Pengurus England yang menerima gaji 6 juta pound (RM29 juta) setahun  itu berkata: "Keputusan FA tidak mendapat persetujuan daripada saya,  sama sekali tidak."
Bagaimanapun bekas pengarah eksekutif FA, David Davies berkata: "FA  memandang serius kenyataan Fabio Capello, beliau mungkin telah melanggar  kontrak.
"Kami mengesyaki beliau cuba menghalang John Terry daripada bersara  sebagai pemain sebelum Euro 2012, tetapi terdapat banyak isu lain untuk  dibincangkan.
"Sekarang anda sedang bercakap mengenai isu moral ketika England  berusaha untuk memenangi trofi besar keduanya dalam bola sepak. 
"Bagi FA, kami juga bercakap tentang pentingnya memiliki seorang  pemimpin yang dihormati. Minggu lalu, dia (Terry) tidak menunjukkan  karakter ini dan dia mungkin tidak memperlahankan sikapnya itu."[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan