Frank Lampard menjaringkan gol untuk  menyelamatkan kedudukan pengurusnya kelmarin, namun sejurus tamat  perlawanan bintang tengah Chelsea itu membuat pengakuan bahawa  hubungannya dan Andre Villas-Boas tidak ideal.
Kelmarin, Lampard menjaringkan gol liga ke-150 untuk membantu Chelsea menumpaskan Bolton 3-0 di Stamford Bridge. 
Begitupun, dia mengakui kemenangan itu tidak banyak membantu  memperbaiki hubungannya dengan pengendali dari Portugal itu. "Saya rasa  anda juga boleh nampak bahawa kami tidak ideal. Sudah timbul beberapa  isu dengan pemain-pemain tertentu dan kami tidak gembira apabila tidak  dapat bermain. 
"Saya percaya, ada satu ketika kami semua berasa amat kecewa. Semua  orang yang terlibat, terutama yang sentiasa meletakkan Chelsea di hati  mereka dan sudah berada lama di sini, hanya mahu bermain untuk pasukan. 
"Ia bukan bermakna saya mahu sentiasa diturunkan dalam setiap  perlawanan, cuma sekalipun saya hanya dibenarkan duduk di bangku  simpanan, saya mahu melihat Chelsea mencatat kemenangan. "Saya tidak  pernah lihat dalam mana-mana perlawanan sekalipun, jurulatih  mengetepikan pemain daripada skuad hingga sanggup mengundang bahaya  kepada kelab," tegas Lampard. 
Kenyataan bintang tengah England itu dibuat merujuk kepada tindakan  Villas-Boas mengetepikan dia, Ashley Cole dan Michael Essien daripada  perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Itali, Napoli  gara-gara menegur taktik yang diterapkan pengurus.
Natijahnya, Chelsea kalah 3-1 dan kini terpaksa menggalas tugas berat  untuk mencari kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 apabila perlawanan  peringkat kedua berlangsung di London, dua minggu dari sekarang. 
Bagaimanapun kelmarin, Lampard membantu mengurangkan tekanan  Villas-Boas apabila menjaringkan satu daripada tiga gol pasukannya di  Stamford Bridge. Dua lagi jaringan The Blues disempurnakan pemain  pertahanan, David Luiz dan penyerang, Didier Drogba. 
Biarpun memainkan peranan penting dan berjaya menyumbang kepada  kemenangan pasukan kelmarin, namun Villas-Boas memberi amaran bahawa  Lampard berpotensi diketepikan sekali lagi di bangku simpanan apabila  Chelsea menentang West Brom, Sabtu ini. 
"Pemain berhak berasa kecewa tetapi kami juga perlu membuat keputusan  untuk kepentingan pasukan. Ada enam pemain yang bersaing untuk tiga  posisi di bahagian tengah. Hari ini Lampard mendapat peluangnya dan dia  bermain dengan baik," ujar Villas-Boas. 
Ketika ditanya wartawan, apakah tempat bintang England itu pada  pertemuan dengan West Brom sudah terjamin, pengurus berusia 34 tahun itu  menambah: "Ia (memberi jaminan sekarang) bukan cara kami bekerja."[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan