Belum sampai semusim, impian Andre Villas-Boas untuk mencipta  kemasyhuran seperti mana Jose Mourinho di Chelsea mungkin akan berakhir  sebelum musim ini melabuhkan tirai jika prestasi terumbang-ambing The Blues mutakhir ini berterusan dalam beberapa perlawanan akan datang..
Semakin jauh ditinggalkan di belakang pendahulu Liga Perdana England,  Manchester City dengan perbezaan 17 mata, berdepan risiko tersingkir  daripada kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara, Chelsea mungkin  menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi seperti mana jirannya,  Arsenal.
Prospek itu sudah tentu tidak akan disukai oleh pemilik kelab, Roman  Abramovich yang dilihat semakin kecewa melihat keupayaan pengurus muda  itu kerana bukan sahaja tidak mampu membimbing Chelsea beraksi  konsisten, namun semakin hilang mendapat sokongan daripada kebanyakan  pemain senior.
Yang terbaru, kekalahan 1-3 kepada Napoli dalam aksi pertama timbal  balik pertama Liga Juara-Juara sudah pasti akan meletakkan Villas-Boas  'panas punggung' memikirkan kedudukannya ketika aksi longlai para pemain  di atas padang seolah-olah memberikan satu petanda bahawa mereka sedang  'memberontak' dalam diam.
Bertambah merumitkan keadaan, keputusan pelik pengurus dari Portugal  itu yang enggan menggunakan khidmat beberapa pemain senior seperti Frank  Lampard, Ashley Cole dan Michael Essien dalam kesebelasan utama ketika  perlawanan penting berdepan Napoli bagaikan menambahkan lagi bara yang  terpendam.
Biarpun Villas-Boas menafikan yang hubungan dia dan kelompok pemain  ini sedang dilanda masalah, namun apa yang diperkatakan oleh bek kiri  England, Ashley Cole mencetuskan satu persoalan menarik, apakah yang  berlaku sebenarnya dalam kem Chelsea?
Ketika pengurus berusia 34 tahun itu memberitahu kepada media di  England bahawa Cole tidak berada dalam 100 peratus cukup cergas dan  tidak boleh diturunkan, Cole menafikan apa yang diperkatakan oleh bosnya  itu dan kelihatan cukup kecewa dengan keputusan dilakukan oleh  Villas-Boas.
Jika pemilihan Villas-Boas menggantikan Cole dengan pemain yang  setanding, itu tidak menjadi persoalan besar, namun apa yang  menghairankan mengapa dia memilih meletakkan Jose Bosingwa yang bermain  di bek kanan mengambil tempat Cole di sebelah kiri?
Selain itu, kedegilan Villas-Boas yang terus meletakkan David Luiz  beraksi di pertahanan tengah walaupun masih terus melakukan kesilapan  demi kesilapan dalam setiap perlawanan sehinggakan menjadi perhatian  pengkritik seolah-olah bekas pemain Benfica ini bagaikan anak emas  kepadanya.
Dia boleh menggandingkan Gary Cahill dan Branislav Ivanovic yang  mampu beraksi di bahagian tengah tetapi masih mengambil risiko  memperjudikan Luiz yang beraksi terlalu agresif dan cuai dalam menjaga  pergerakan pemain lawan.
Psikologi para pemain Chelsea dilihat berada dalam keadaan yang  sangat rapuh selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima  perlawanan dan memburukkan situasi, ketua pasukan, John Terry bakal  direhatkan selama enam minggu kerana kecederaan dan ia pasti menambahkan  lagi masalah di bahagian pertahanan 
Berdepan Bolton pada malam ini, Villas-Boas tiada pilihan lain kecuali mencari tiga mata penuh biarpun dengan kemenangan tipis.
Persoalannya, masih mampukah dia mencari formula terbaik  mengembalikan semangat para pemain Chelsea ketika semakin ramai pemain  senior The Blues mempertikaikan taktikal dan pemilihan pemain yang dilihat tidak masuk akal?[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan