Andre Villas-Boas menegaskan bahawa dia masih mendapat sokongan  penuh pemilik Chelsea, Roman Abramovich meskipun prestasi pasukan  bimbingannya semakin merosot.Tekanan terhadap kedudukan Villas-Boas sebagai pengurus semakin  meningkat apabila pasukannya gagal mengalahkan kelab dari Liga  Kejuaraan, Birmingham City dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA di  Stamford Bridge.
Keputusan seri 1-1 itu dicatat selepas mereka tumpas di Everton dalam  aksi Liga Perdana minggu lalu, keputusan yang mendorong kepada  jurulatih itu mengadakan pertemuan dengan para pemain selain membuat  sesi latihan tambahan pada hari rehat.
Abramovich turut menghadiri pertemuan tersebut tetapi jika pemilik  kelab dan pengurus mengharapkan satu perubahan segera, ia ternyata  meleset.
David Murphy meletakkan Birmingham di depan pada minit ke-20 dan  Chelsea terpaksa menunggu tandukan Daniel Sturridge pada babak kedua  bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan ulangan selepas Juan  Mata gagal menyempurnakan sepakan penalti separuh masa pertama.
Villas-Boas mengakui pasukannya hilang keyakinan menjelang perlawanan  Liga Juara-Juara, Rabu ini di Napoli, tetapi dia mendakwa kedudukannya  sebagai pengurus tidak terancam.
Ketika ditanya keputusan pada perlawanan menentang Napoli bakal  menjejaskan masa depannya, dia berkata: "Tidak. Tidak, tidak sama  sekali. Bukan saya yang membuat keputusan, anda perlu bertanya soalan  ini kepada orang yang sewajarnya."
Bagaimanapun, Villas-Boas tidak menolak bahawa persembahan Chelsea menentang Birmingham tidak mencapai standard biasa kelab itu.
"Ia tidak bagus, sudah tentu ia bukan aksi yang baik. Kami bermain  baik pada babak kedua tetapi tidak mempunyai peluang yang cukup untuk  menang. Dan saya tidak akan sesekali berkata yang perlawanan ini bagus  apabila anda bertemu dengan pasukan Liga Kejuaraan.
"Kami ambil masa terlalu lama untuk mencari rentak permainan sebenar  kami dan mereka memiliki peluang menjaringkan gol pada separuh masa  kedua," katanya.
Mengakui skuad bimbingannya itu semakin hilang keyakinan diri sejak  kebelakangan ini, menambah: "Situasi sekarang ialah kami gagal mencatat  keputusan yang baik untuk kami bina kembali keyakinan.
"Tetapi kami masih berada dalam pertandingan dan akan terus berusaha.  Perlawanan menentang Napoli bukan satu pertemuan yang mudah, tetapi  kami perlu mempamerkan semangat berpasukan untuk mengatasi laluan getir  ini."
Punca kemerosotan Chelsea mungkin tidak dapat diselesaikan jika  Ashley Cole dan John Terry gagal untuk sembuh daripada kecederaan yang  menyaksikan mereka tidak dapat bermain pada perlawanan menentang  Birmingham.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan