John Terry dilucutkan jawatan kapten England buat kali kedua dalam  tempoh dua tahun semalam selepas kebimbangan mengenai kes perkauman di  mahkamah menjejaskan posisinya.Persatuan Bola sepak (FA) Inggeris mengesahkan dalam satu  kenyataan pengerusi David Bernstein menghubungi Terry untuk mengumumkan  mengenai keputusan badan induk itu dan melucutkannya sebagai kapten  hingga dakwaan ke atasnya “selesai”.
Bernstein mendapatkan pandangan di kalangan lembaga FA kelmarin untuk membincangkan tindakan terbaik terhadap Terry, yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atas pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand pada satu perlawanan tahun lalu.
Terry, 31, tegas menafikan dakwaan itu dan berazam untuk  membersihkan namanya. Namun keputusan minggu ini untuk menangguhkan kes  mahkamah hingga 9 Julai depan mampu menjejaskan kempen England pada Euro  2012.
“Berikutan keputusan untuk menangguhkan kes mahkamah terhadap John Terry kepada Julai, Persatuan Bola sepak mengesahkan dia tidak akan menjadi kapten England hingga pertuduhan terhadapnya diselesaikan,” kata kenyataan FA.
Namun kenyataan FA menegaskan Terry masih boleh mewakili England di Poland dan Ukraine musim panas ini.
“Lembaga FA mengesahkan dia tidak diketepikan daripada skuad dan  Fabio Capello bebas memilihnya bagi perlawanan menentang Belanda pada 29  Februari dan Kejohanan Eropah,” menurut kenyataan itu.
FA berkata Bernstein sudah menjelaskan keputusan itu kepada Terry dan Capello, yang dilaporkan berminat untuk mengekalkan pertahanan tengah itu sebagai kapten.
“Fabio Capello tidak terbabit dengan perbincangan Lembaga FA yang  mencapai keputusan ini, tapi memahami Lembaga FA mempunyai kuasa untuk  membuat keputusan ini.”
Abang Anton Ferdinand, Rio yang juga anggota  skuad England, mungkin boleh mendapat semula lilitan di lengan sebagai  kapten berikutan keputusan itu walaupun pemain tengah Liverpool, Steven  Gerrard mungkin akan dipertimbangkan.[sumber]
ArulchelseA: FA pun bodoh..belum tahu keputusan mahkamah lagi dah buat keputusan
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan