Sentuhan 'magis' Andres Iniesta ketika membantu Sepanyol  mempertahankan kejuaraan Eropah membolehkan bintang tengah itu dipilih  sebagai Pemain Terbaik Euro 2012 oleh Persatuan Bola Sepak Eropah  (UEFA), semalam. 
Pemain Barcelona berusia 28 tahun itu memainkan peranan besar dalam  membantu Sepanyol melakar kemenangan bersejarah 4-0 ke atas Itali pada  perlawanan akhir, selain mempengaruhi corak serangan skuad La Roja sepanjang kejohanan. 
Pemilihan Iniesta dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri  daripada 11 pakar bola sepak dari seluruh Eropah. Ini kali kedua  berturut-turut pemain Sepanyol menerima penghormatan tersebut selepas  Xavi Hernandez dipilih menjadi Pemain Terbaik Euro 2008. 
Sementara itu penyerang Sepanyol, Fernando Torres pula diumumkan  sebagai pemenang Kasut Emas penjaring terbanyak, mengetepikan pencabar  terdekat, Mario Gomez dari Jerman. 
Kejayaan Torres, 28, menghasilkan satu gol dalam perlawanan akhir  menentang Itali menjadikan dia satu-satunya pemain yang berjaya  menjaringkan gol dalam dua final Euro. 
Dia berkongsi tiga gol  bersama Gomez dan empat pemain lain, Alan Dzagoev (Rusia), Mario  Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali) dan Cristiano Ronaldo,  namun penyerang Chelsea itu dipilih sebagai pemenang kerana lebih banyak  membantu mencipta gerakan gol. 
Bagi Iniesta, biarpun gagal menjaringkan gol dan hanya mencipta satu  gerakan gol dalam perlawanan akhir, namun pemilihannya dibuat  berdasarkan sumbangan keseluruhan pemain tersebut dalam kempen Euro  2012, kata UEFA dalam satu kenyataan. 
Dia mencipta gerakan untuk gol penting Sepanyol yang disempurnakan  Jesus Navas ketika pasukannya menumpaskan Croatia 1-0 dalam perlawanan  terakhir Kumpulan C. 
Hantarannya kepada Cesc Fabregas pula membawa  kepada gol pembukaan Sepanyol dalam saingan akhir apabila Fabregas  kemudian melakukan hantaran silang untuk ditanduk David Silva. 
Sebelum perlawanan akhir bermula, perancang utama Itali, Andrea Pirlo  disebut-sebut sebagai calon Pemain Terbaik, namun semuanya berubah  apabila skuad Azzurri dikejutkan dengan kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Euro.
"Memilih Iniesta memberi mesej jelas mengenai kreativiti, ketajaman  dan sikap rendah diri yang perlu ada dalam pada pemain bola sepak," kata  Pengarah Teknikal UEFA, Andy Roxburgh.
Iniesta, penjaring gol tunggal kemenangan Sepanyol ketika muncul  juara Piala Dunia 2010 merupakan salah satu daripada 10 pemain Sepanyol  yang berada dalam senarai 23 pemain skuad pilihan Eropah. Kapten  England, Steven Gerrard turut tersenarai biarpun pasukannya gagal  melepasi suku akhir. 
"Gerrard bermain dengan amat... amat baik dan dia menunjukkan kualiti kepimpinan yang hebat,'' tambah Roxburgh.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan