5 Julai 2012

Torres Buang badi Chelsea

Fernando Torres mengakui tahun penuh igauan di Chelsea kini berakhir sebaik menjulang anugerah Kasut Emas Euro 2012.

Torres yang juga penyerang Sepanyol yang dibeli dari Liverpool pada harga 50 juta (RM246 juta) kurang mendapat perhatian ketika skuad Blues melengkapkan musim lalu dengan gelaran berganda iaitu Piala FA dan Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Pemain itu juga yang berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak di Euro tetapi memenanginya menerusi penentuan bantuan jaringan dan tempoh permainan, membantu negaranya untuk meraih tiga kejohanan berturut-turut dalam tempoh empat tahun dan pencapaian itu memberi sinar baru kepadanya.

“Saya akan melupakan pengalaman saya di Chelsea musim ini,” katanya. “Saya akan mengingati tiga gelaran dan final ini, yang begitu bermakna buat pasukan ini, negara dan sesiapa saja yang mengikuti Sepanyol dan saya pasti penyokong Chelsea akan gembira.

“Kini saya mahu berehat dan menikmati kejayaan ini, selain bersedia untuk musim depan yang pastinya penuh dengan detik indah, sekurang-kurangnya saya berfikir seperti itu.

“Bagi saya, ia satu musim yang sukar dijelaskan. Ia tidak bermakna ia sesuatu yang buruk tetapi ia sukar dijelaskan dan saya mengalami detik yang sukar.

“Menyaksikan kegembiraan keluarga saya selepas perlawanan itu, apa saja yang berlaku sepanjang musim tampak berbaloi.”

Selain memenangi tiga gelaran berturut-turut, Torres dan rakan sepasukannya juga menjadi pasukan pertama mempertahankan trofi Kejuaraan Eropah.

Begitupun Torres yang menjaringkan gol kemenangan pada final Euro 2008 dan turut menyumbang dalam kejayaan final Piala Dunia dua tahun lalu berkata banyak yang akan ditunjukkan oleh pasukan itu.

“Banyak lagi yang ingin kami buktikan. Kebanyakan pemain masih muda dan saya boleh katakan banyak yang ingin kami capai nanti.

“Kami mempunyai banyak cita-cita dan matlamat selepas ini. Kami menikmati pencapaian setakat ini dan turut meraikan kemenangan ini tetapi kami sudah pun mengalih perhatian terhadap Piala Konfederasi (di Brazil tahun depan di mana mereka akan berdepan dengan juara setiap zon Fifa) dan Piala Dunia (di Brazil dalam tempoh dua tahun lagi).

“Saya berharap majoriti skuad ini akan berada di sana. Ia bukan sesuatu yang mudah. Memenangi tiga kejohanan berturut-turut tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak jadi kami perlu menilainya.

“Mujur perjuangan kami masih belum berakhir tetapi sudah tentu saya mahukan lebih lagi, Bila anda menang, sudah tentu anda mahukan lebih lagi.”

Torres memenangi anugerah Kasut Emas menerusi pemutus seri tetapi mungkin menakluki gelaran itu lebih awal jika menjaringkannya sendiri, tanpa melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya di Chelsea, Juan Mata untuk menjaringkan gol terakhir Sepanyol.

Torres mendedahkan, dia melakukan hantaran kepada Mata kerana mata tidak mempunyai peluang untuk bermain sepanjang Euro sebelum diturunkan pada tiga minit terakhir perlawanan itu.

“Kerja berpasukan membawa kami ke sini dan sebab itulah saya menghantar bola kepadanya. Juan berdepan Euro yang sukar. Dia tidak dapat bermain walaupun seminit. Saya bertuah mendapat bola itu untuk melakukan hantaran kepadanya untuk meledakkan jaringan.

“Dia berhak menikmatinya seperti pemain lain dan ini adalah satu daripada perkara paling indah bagi saya iaitu melihatnya ketawa dan gembira selepas melalui detik yang sukar.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...