Juara Eropah, Chelsea melakukan satu lagi pembelian besar dengan  mengikat perancang utama Brazil, Oscar (gambar)  menerusi bayaran 25  juta pound (RM123.4 juta). 
   Biarpun baru membelanjakan 42 juta pound (RM207.49 juta) bagi  mendapatkan Marko Marin dan Eden Hazard, namun pembelian terbaru Roman  Abramovich membuktikan jutawan  Rusia itu tidak bercadang memperlahankan  aktivitinya dalam pasaran perpindahan pemain. 
   Ironiknya, Chelsea mengecewakan bekas pengurus mereka sendiri,  Andre Villas-Boas dengan membawa masuk Oscar dari Internacional, kerana  bakat muda bola sepak Brazil itu turut berada dalam senarai  pemain yang  amat dikehendaki Tottenham, kelab yang baru dibimbing Villas-Boas. 
   Pengurus kelahiran Portugal itu memikirkan dia berada di posisi  yang kukuh untuk membeli Oscar, 20,  selepas mengemukakan tawaran,  minggu lalu. 
Difahamkan, Spurs telah menawarkan 11 juta pound (RM54.3  juta) tetapi menurut sumber, kelab Amerika Selatan itu menuntut bayaran  yang lebih tinggi iaitu 18 juta pound  (RM88.9 juta). 
  Chelsea bagaimanapun bertindak lebih cepat untuk mencantas tawaran Tottenham dan menewaskan bekas pengurus mereka. 
   Oscar mula mencuri tumpuan pada musim panas lalu apabila menjadi  pemain pertama menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir Piala Dunia  bawah 20 tahun, menentang Portugal. 
   Pemain yang dilahirkan di Sao Paulo pada 9 September, 1991 dan  memiliki nama penuh Oscar dos Santos Emboaba  Junior itu, turut menarik  perhatian dua gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan