Gary Cahill menggesa Chelsea supaya mengimbas 
semula memori kejayaan memenangi Liga Juara-Juara musim lalu apabila 
Blues menentang Swansea pada separuh akhir kedua Piala Liga, hari ini.
Skuad Rafael Benitez bertandang ke Stadium Liberty setelah kalah 0-2 
pada perlawanan pertama di Stamford Bridge dan kini berdepan cabaran 
sukar untuk meraih tempat ke perlawanan akhir di Wembley.
Namun, dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal Ahad lalu, pertahanan 
tengah Cahill mendakwa ia telah menghidupkan semula cita-cita mereka 
dalam Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa England itu percaya, prestasi mereka dalam kempen
 Eropah musim lalu, termasuk menang penentuan penalti ke atas Bayern 
Munich di padang lawan, membuktikan Chelsea mampu menghadapi apa jua 
rintang, demi melakar kecemerlangan.
"Kami melakukannya sebelum ini dalam Liga Juara-Juara. Perlawanan 
esok akan menjadi sukar kerana kami akan beraksi di padang lawan.
"Untuk menang, kami perlu menjaringkan gol awal, jika berjaya ia akan
 menjadi malam yang mencemaskan buat Swansea. Itulah yang kami mahu 
lakukan nanti," katanya.
Prestasi Chelsea di padang lawan di bawah kendalian Benitez kurang 
baik dan mereka terpaksa berdepan skuad Michael Laudrup yang gah dengan 
enam kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik di padang lawan.
Cahill yakin mereka boleh memulakan kebangkitan untuk merapatkan 
jurang dengan dua pasukan teratas liga, Manchester United dan Manchester
 City, juga mencari inspirasi kejayaan dalam Piala Liga dan FA.
"Ya kami sentiasa memerhatikan kedua-dua kelab Manchester itu. Ia 
agak mengecewakan kerana banyak kali musim ini di mana kami berpeluang 
merapati mereka namun akhirnya kami keciciran.
"Kini kami perlu memastikan salah satu slot ke Liga Juara-Juara. Kami
 juga masih ada Piala Liga dan FA kami mahu mara sejauh yang mungkin," 
katanya.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan