Buat kali pertama, penyokong Chelsea melancarkan 'serangan' terhadap 
Fernando Torres selepas pasukan itu kalah 0-2 kepada Swansea pada 
separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu lalu.
Penyerang Sepanyol itu tidak pernah lari daripada menjadi mangsa 
kritikan sejak menyertai kelab London itu dari Liverpool dengan bayaran 
rekod Britain, 50 juta pound (RM245 juta) pada Januari, 2011. 
Torres gagal mengulangi prestasi hebatnya bersama Liverpool selepas menyertai Chelsea. 
Di Anfield, dia berjaya meledakkan 81 gol daripada 142 perlawanan, 
termasuk 33 gol pada musim pertamanya. Namun di Stamford Bridge, jumlah 
jaringan yang dihasilkan terlalu sedikit. 
Penyerang baru Chelsea, Demba Ba, yang dibeli dari Newcastle United 
minggu lalu menjaringkan dua gol dalam penampilan sulung bersama Blues 
ketika membantu pasukan itu menumpaskan Southampton 5-0 pada pusingan 
ketiga, Sabtu lalu.
Peminat melaungkan nama Ba sepanjang perlawanan dengan Swansea, 
sambil menyeru pengurus, Rafael Benitez supaya mengeluarkan Torres. 
"Kami mahu Demba Ba,'' kata peminat, sebelum Benitez akhirnya membawa
 masuk pemain antarabangsa Senegal itu pada minit ke-81 untuk 
menggantikan Torres.
"Torres bermain buruk. Ketika perlawanan berlangsung sengit, dia 
nampak seperti pemain yang tiada keyakinan. Dia bermain seperti takut...
 Kamu tidak boleh begitu,'' kata bekas penyerang Chelsea dan Ireland, 
Tony Cascarino kepada Sky Sports News. 
Torres tidak mengharungi musim yang menggembirakan di Chelsea, malah 
pernah menunggu lama sebelum berjaya menjaringkan gol buat Blues. 
Biarpun begitu, peminat masih menerimanya kerana Torres sentiasa 
menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan berjuang, malah tahun lalu 
pemain Sepanyol itu memberitahu, dia amat terdesak untuk meyakinkan 
peminat.
"Sejak saya menyertai Chelsea, peminat sangat baik terhadap saya, 
jadi amat penting untuk saya membalas segala kepercayaan mereka. 
"Saya berjaya mengatasi tempoh paling sukar dalam karier saya. Saya 
pernah mendapat diri saya tiada dalam senarai pemain skuad untuk 
beberapa perlawanan, ia situasi yang tidak pernah saya alami sebelum 
ini. 
"Satu-satunya perkara yang memberi harapan kepada saya, adalah sokongan orang ramai,'' kata Torres.[sumber] 
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan