Eden Hazard mungkin terlepas daripada tindakan disiplin selepas ketua
 Persatuan Bola Sepak (FA) England meluangkan masa seharian untuk 
mengkaji rakaman video mengenai insiden pemain itu dengan budak pemungut
 bola. 
Keputusan masih perlu diputuskan sama ada mengenakan hukuman ke atas 
bintang Chelsea bernilai 32 juta pound (RM153 juta) itu kerana 
berkelakuan buruk.
Namun, satu lagi rakaman video yang baru diperoleh menunjukkan bahawa
 Hazard sememangnya menendang bola dan bukan budak pemungut bola, 
Charlie Morgan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga di Stadium
 Liberty, kelmarin.
Bagaimanapun, Chelsea mengesahkan bahawa mereka tidak akan 
mengemukakan rayuan bagi membantah kad merah Hazard, yang mana FA 
beranggapan bintang antarabangsa Belgium itu mahu mengelak daripada 
dikenakan hukuman yang lebih berat.
Pengadil, Chris Foy mengesahkan dalam laporannya bahawa Hazard 
dibuang padang kerana melakukan kekerasan, kesalahan yang menyebabkan 
pemain berkenaan boleh digantung tiga perlawanan.
Polis di Selatan Wales, semalam menerima tiga aduan daripada orang 
ramai mengenai insiden yang mengejutkan ramai pihak itu. Tetapi, mereka 
tidak bercadang meneruskan sebarang siasatan jenayah selepas Morgan, 17,
 dan bapanya, pengarah Swansea, Martin Morgan enggan mengemukakan 
sebarang aduan rasmi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Pemain Profesional (PFA), 
Gordon Taylor berkata, Hazard tidak sepatutnya dikenakan hukuman yang 
lebih berat ekoran insiden pada babak kedua permainan itu.
Taylor berkata: "Ini proses biasa yang mana FA perlu teliti 
mengenainya dan terpulang kepada mereka membuat keputusan. Saya tidak 
fikir budak remaja yang terlibat dengan insiden itu mahu melihat Hazard 
dikenakan hukuman berat.
"Pengadil membuat keputusan yang tepat pada malam itu dan anda juga 
tidak mahu melihat keadaan menjadi bertambah tegang. Apa yang berlaku 
memang mengecewakan tetapi Hazard menunjukkan rasa kesalnya dan 
kedua-dua kelab juga berjaya mengendalikan kes itu dengan baik."[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan