5 Januari 2013

Benitez enggan kecundang lagi

Rafael Benitez mengaku pertembungan Chelsea dan Southampton pada pusingan ketiga Piala FA amat penting berikutan kekalahan mengejut mereka di tangan QPR dalam Liga Perdana.


Benitez akur kekalahan 0-1 di gelanggang sendiri Rabu lalu di tangan kelab tercorot liga itu menyebabkan Blues kini ketinggalan 14 mata di belakang Manchester United memaksa mereka mencipta rentetan kemenangan menakjubkan untuk menjuarai Liga Perdana.

Impian Chelsea di Eropah kini bergantung kepada Liga Europa susulan kegagalan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan sebelum bertemu Swansea pada separuh akhir Piala Liga minggu depan, Benitez sedar Blues tidak boleh menerima kejutan lagi di St Mary’s, malam ini.

Rekod kelab barat London itu dalam Piala FA amat mengagumkan, tiga kejuaraan dalam empat tahun terakhir termasuk kejayaan musim lalu ke atas Liverpool.

Selepas musim bermasalah, tambahan trofi di Wembley, Mei ini pasti disambut baik dan sekurang-kurangnya mengesahkan dakwaan Benitez beliau boleh memulihkan pasukan itu selepas dilantik sebagai pengurus sementara menggantikan Roberto Di Matteo.

Halangan pertama ditempuhi mereka adalah pasukan Southampton yang semakin meningkat dan kini terkeluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana menerusi perbezaan gol selepas permulaan buruk musim ini.
Chelsea sepatutnya diperkuat dengan kembalinya Juan Mata, Ramires, Ashley Cole dan Eden Hazard dalam kesebelasan utama, selepas mereka memanaskan bangku pemain simpanan menentang QPR.

Benitez tidak menyesal dengan keputusan itu dan mendakwa pemain keletihan selepas jadual padat sepanjang Disember termasuk berkunjung ke Jepun bagi menyertai Piala Kelab Dunia.
“Ia sukar, terutamanya bagi kami apabila bermain banyak perlawanan dengan beberapa pemain,” kata Benitez.

“Kami perlu menanganinya dan kadang kala jika salah menguruskannya, saya boleh kata ia satu kesilapan. Tapi saya perlu cuba menanganinya.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...