20 Mac 2012

Torres bakal kembali menyinar - RDM

Roberto Di Matteo percaya Fernando Torres akhirnya boleh melupakan kesengsaraan selepas penyerang Chelsea itu menamatkan kemarau jaringan ketika Blues menewaskan Leicester 5-2 di suku akhir Piala FA, kelmarin.

Torres kemarau lima bulan tanpa gol sejak kali terakhir menemui gawang ketika menentang Genk pada Oktober tahun lalu, tetapi penyerang antarabangsa Sepanyol itu kembali meledak dua gol di Stamford Bridge.

Lawan mungkin hanya pasukan di pertengahan liga Kejuaraan tetapi selepas beraksi 25 jam 41 minit tanpa menjaringkan gol, Torres harus lega dengan jaringan pada minit ke-67 dan tandukan minit-86, sekali gus membantu Chelsea mara ke separuh akhir. 

 Pengurus sementara Blues, Di Matteo berharap bintang tercalar itu - yang hanya menjaringkan tujuh gol sejak 13 bulan bersama Chelsea - akan meningkatkan keyakinannya untuk menutup mulut pengkritik yang menggelarnya pembelian 50 juta pound (RM250 juta) yang tidak berbaloi.

“Saya fikir Fernando sudah melepasi tempoh menakutkan, dia bekerja keras untuk pasukan dan menjaringkan gol. Ini pasti menggembirakannya,” kata Di Matteo.

“Saya rasa seluruh pasukan dan penyokong gembira kerana dia bekerja keras untuk pasukan. Dia seorang pemain yang memiliki semangat berpasukan. Apabila anda bekerja keras dalam hidup, anda akan mendapat ganjaran.

“Saya tidak kisah jika dia gagal menjaringkan gol, asalkan kami menang. Tetapi saya harap keyakinannya akan meningkat selepas ini.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...