Pemain Chelsea telah menunjukkan isyarat jelas bahawa mereka mahukan Roberto Di Matteo menjadi jurulatih sepenuh masa selepas berjaya membawa pulang trofi Liga Juara-Juara yang sangat diidamkan pemilik kelab, Roman Abramovich ke Stamford Bridge, semalam.
Chelsea menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 ke atas Bayern Munich di Allianz Arena, selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Kejuaraan pertama Chelsea di peringkat Eropah seakan tidak akan berlaku selepas ketinggalan 1-3 kepada Napoli dalam peringkat kalah mati tetapi Di Matteo yang menggantikan Andre Villas-Boas yang dipecat adalah pencetus segalanya.
Dia bangkit menewaskan kelab Itali itu, kemudian menang ke atas Benfica dan seterusnya menyingkirkan penyandang juara, Barcelona.
Ditanya sama ada Di Matteo sepatutnya mendapat tugasan tersebut secara tetap, ketua pasukan, John Terry berkata, pengendali sementara itu sepatutnya dikekalkan.
Penjaga gol, Petr Cech yang menyelamatkan sepakan penalti Arjen Robben pada masa tambahan selepas Didier Drogba memadamkan gol pendahuluan Thomas Mueller turut sependapat dengan Terry.
"Apa yang akan berlaku kepadanya, dia telah pun berjaya meraih dua piala. Dia telah melakukan segalanya untuk mendapat jawatan tersebut tetapi pihak atas akan menentukannya," kata penjaga gol Republik Czech itu.
Ketua pasukan pada perlawanan tersebut, Frank Lampard berkata, Di Matteo telah membantu menukar hala tuju pasukan musim ini.
"Ia bukan persoalan sekarang ini. Dia telah membawa kami daripada pasukan yang sedang bergelut menjadi juara Liga Juara-Juara, jadilah lihatlah pencapaiannya," kata Lampard.
Kelab dari London itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat keenam, kedudukan paling teruk bagi mereka selepas sedekad tetapi memenangi Liga Juara-Juara membolehkan mereka beraksi pada kejohanan Eropah itu musim depan.
Media juga melaporkan Chelsea dikaitkan dengan bekas pengendali England, Fabio Capello dan Di Matteo serta Abramovich tidak bercakap mengenai perkara tersebut secara terbuka.
"Saya sangat menyukai saat ini. Saya tidak mahu bercakap tentang jawatan," kata Di Mattei yang juga adalah bekas pemain tengah Chelsea.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan