Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay menyokong Fernando Torres untuk menggantikan Didier Drogba sebagai penjaring gol utama kelab itu.
Drogba, yang menjaringkan sepakan penalti kemenangan ketika kejayaan Chelsea mengatasi Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara hujung minggu lalu dijangka berhijrah ke China selepas mendedahkan dia akan meninggalkan Stamford Bridge.
Penyerang Ivory Coast itu mempunyai rekod prolifik di Chelsea, tidak seperti Torres yang dibeli dengan harga 50 juta (RM246 juta), namun Gourlay menyokong penyerang Sepanyol berusia 28 tahun itu untuk menjaringkan gol secara kerap musim depan.
“Kami ada Fernando Torres. Fernando adalah orangnya yang akan mengemudi jentera serangan dan menjaringkan gol buat kami,” kata Gourlay.
“Kami tidak meragui Fernando adalah penyerang bertaraf dunia dan menjaringkan banyak gol buat Chelsea. Saya langsung tidak bimbang. “Kami baru saja memenangi Liga Juara-Juara dan Fernando turut memainkan peranan dengan kejayaan itu.
“Ia bukan semuanya mengenai gol. Ia bukan hanya mengenai jaringan gol secara peribadi, kerjasama sepasukan, dia seorang pemain yang amat penting.”
Torres mengkritik kelabnya kerana tidak memberikannya banyak peluang beraksi musim ini namun jika seorang penyerang baru dibeli pada musim panas ini, Gourlay mendedahkan ia adalah untuk membantu bekas pemain Atletico Madrid dan Liverpool itu dan bukan menggantikannya.
“Kami mungkin ada dua penyerang tengah terkenal menjaringkan 25-30 gol buat kami musim depan dan mungkin selepas itu kami boleh membaiki kedudukan keenam dalam liga,” katanya.
Chelsea dilaporkan berminat dengan pemain tengah Lille dari Belgium, Eden Hazard yang turut diburu Manchester United dan juara Liga Perdana, Manchester City.
Walaupun Gourlay tidak mahu mengesahkan spekulasi itu, beliau pantas menyatakan tidak mahu terbabit dengan saingan membida bersama kelab pesaing.
Beliau berkata: “Ada beberapa nama yang menjadi sasaran di luar sana dan saya tidak mahu menyatakan sama ada dia seorang daripadanya.”[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan