Ratusan ribu penyokong Chelsea berhimpun menyambut kepulangan wira mereka semalam ketika pasukan berarak mengelilingi bandar menaiki bas tidak berbumbung selepas berjaya menumpaskan Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara.
Penyokong yang bangga menyarungkan jersi biru terus membanjiri jalanan sambil bersorak gembira apabila penjaring gol kemenangan, Didier Drogba, menjulang trofi kejuaraan bersama kapten, John Terry yang tidak bermain pada perlawanan akhir di Munich, awal pagi kelmarin.
Bas dinaiki pasukan turut dihiasi kain rentang tercatat ‘Champions of Europe’ (Juara Eropah) dan Drogba terus diraikan penyokong. Mereka bersorak, berpelukan dan membunyikan hon sepanjang jalan.
Pemain tengah, Frank Lampard yang mengetuai pasukan di final berkata: “Selepas menanti sekian lama akhirnya kami berjaya menjulang kejuaraan ini dan ia malam paling hebat sepanjang kerjaya kami.
“Kami terharu untuk pulang meraikan kemenangan bersama penyokong. Anda begitu hebat, terima kasih, terima kasih, terima kasih. Ini adalah kelab terbaik di dunia.” Kejayaan itu adalah kemenangan sulung buat Chelsea dalam pertandingan utama kelab Eropah sekali gus menepati misi pemiliknya, Roman Abramovich, yang melaburkan jutaan pound untuk kelab.
Pemilik Russia itu bersama pengurus sementaranya, Roberto Di Matteo turut sama diraikan di atas bas.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan