Roberto Di Matteo berkata, dia masih belum pasti sama ada pemain pertahanan Gary Cahill dan David Luiz dapat beraksi untuk Chelsea pada final Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich 19 Mei ini.
Cahill terlepas empat perlawanan terakhir kerana mengalami kecederaan hamstring sementara Luiz tidak beraksi sejak 15 April lalu juga disebabkan atas masalah yang sama.
Kedua-dua pemain tidak beraksi ketika Chelsea tewas 1-4 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Di Matteo berkata, dia belum pasti sama ada kedua-dua pemain tersebut cergas menjelang pertemuan dengan Bayern di Allianz Arena hujung bulan ini.
"Saya tidak tahu, kita akan lihat nanti. Kalau boleh saya mahu semua orang dapat beraksi. Kami akan lihat perkembangan mereka dan memantau kecergasan mereka," katanya.
Kekalahan semalam bermakna Chelsea tidak mampu menamatkan saingan liga lebih daripada tangga keenam musim ini.
Ini bermakna pasukan Di Matteo perlu menewaskan Bayern untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Di Metteo mempertahankan keputusannya melakukan lapan pertukaran daripada pasukan yang dibariskan ketika perlawanan akhir Piala FA di Wembley.
"Saya beranggapan meletakkan pasukan yang lebih bertenaga dan segar dari kekuatan mental serta fizikal mampu memberikan kami peluang yang lebih cerah.
"Kami bermain setiap tiga hari, Kami telah menggunakan kekuatan yang ada untuk mara kedua perlawanan akhir. Kami cuba, cuba dengan begitu gigih sekali," kata Di Matteo.
Jaringan daripada Jordan Henderson, Daniel Agger, Jonjo Shelvey dan jaringan sendiri, Michael Essien membolehkan Liverpool mencatat kemenangan paling besar selepas aksi kurang menyerlah musim ini.
Ramires menjaringkan gol tunggal buat Chelsea pada separuh masa kedua tetapi ia tidak mampu untuk meningkatkan keupayaan kelab London itu.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan