Liverpool berhasrat mengakhiri musim mereka yang tidak menentu dengan penyudah positif awal pagi esok dengan kejayaan menjulang gelaran berganda ke atas musuh ketat, Chelsea pada final Piala FA Inggeris.
Kepulangan Kenny Dalglish ke Anfield tahun lalu dan perbelanjaan mewah membeli pemain meningkatkan keyakinan di kalangan penyokong Liverpool kelab itu sedia bangkit sebagai kuasa digeruni dalam kancah bola sepak Inggeris.
Namun kempen tidak menentu pada saingan liga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kepulangan Dalglish apatah lagi impian Liverpool kembali ke Liga Juara-Juara berkecai beberapa minggu lalu.
Fulham pasukan terbaru meranapkan impian Anfield, awal pagi Rabu lalu dengan kemenangan 1-0, satu keputusan yang mencatat rekod terburuk di laman sendiri sejak musim 1948-49.
Bagaimanapun jika Liverpool mampu mengatasi pemain Chelsea yang keletihan di Wembley, Dalglish boleh berbangga dengan musim yang menghasilkan dua kejuaraan selepas berjaya menewaskan Cardiff City untuk menjulang Piala Liga, Februari lalu.
Biarpun Liga Perdana masih menjadi keutamaan, pengurus Liverpool menegaskan kejayaan menjulang dua gelaran domestik bermakna mereka berada di landasan tepat.
Kapten Liverpool, Steven Gerrard mengaku biarpun kelab itu perlu menangani masalah prestasi dalam liga, kejayaan ke atas Chelsea akan membolehkan skuad Merseyside melihat musim ini dengan penuh kebanggaan.
“Ia satu musim yang berjaya. Kelab ini sinonim dengan kejayaan memenangi trofi utama termasuk Piala FA,” kata Gerrard.
“Kami akan menilai kembali musim ini selepas hujung minggu ini. Jika boleh mengenang kembali dan berkata kami menang dua piala, ia pastinya menggembirakan,” kata Gerrard.
Pertemuan awal pagi esok adalah yang ke-33 buat kedua-dua pasukan sejak hartawan Russia, Roman Abramovich membeli Chelsea pada 2003 dan memulakan era paling gemilang dalam sejarah kelab London itu.
Chelsea bagaimanapun mungkin boleh dimaafkan kerana menganggap final ini sebagai suatu gangguan yang tidak diperlukan, ketika Roberto Di Matteo cuba mengagihkan sumber dimilikinya untuk tiga misi berbeza.
Harapan Blues berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana, menerima tamparan hebat awal pagi Khamis lalu apabila tewas 0-2 di laman sendiri kepada Newcastle yang menyebabkan skuad Di Matteo ketinggalan empat mata untuk berada dalam saingan Liga Juara-Juara dengan baki dua perlawanan.
Kekalahan itu bermakna laluan Chelsea ke final Liga Juara-Juara di Munich, 19 Mei ini dilihat lebih penting dengan kejayaan ke atas Bayern Munich kini menjadi bekal terbaik menempah tiket ke edisi musim depan.
Ketika Di Matteo mungkin terpaksa merehatkan beberapa pemain utama untuk perlawanan di Munich, jurulatih Itali itu menegaskan Chelsea pasti meraih motivasi dengan kejayaan di Wembley.
Di Matteo yang menjaringkan gol kedua terpantas dalam sejarah Piala FA selepas rembatan jarak jauh ketika Chelsea menewaskan Middlesbrough seawal saat ke-42 pada 1997, mula merasai kesan jadual padat itu.
“Pemain sudah memberikan segala-galanya,” kata Di Matteo. “Kami minta mereka supaya terus berusaha keras dan mereka melakukannya dengan cemerlang. Kami akan memilih pemain untuk perlawanan ini. Kami mempunyai perlawanan hebat, sebuah final yang hebat Sabtu ini dan akan terus berjuang.
“Kami tidak sabar menanti final Piala FA. Ia satu acara yang hebat dan motivasinya ada di sana.”[sumber]
1 Pengulas Sukan:
salam...nice entri..kalau berminat exchange bloglist..inform kat shout box sukan2review..http://sukan2review.blogspot.com/
TQ..
Catat Ulasan