Didier Drogba mengaku jaringannya ketika membantu Chelsea melakar kemenangan 2-1 ke atas Liverpool pada final Piala FA adalah kemenangan yang tidak dapat dilupakan sekali gus menjadikan kehidupannya bersama Blues terlalu istimewa.
Drogba muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam empat final Piala FA selepas menjaringkan gol menerusi rembatan leret melepasi penjaga gol Liverpool, Pepe Reina pada awal babak kedua di Stadium Wembley, awal pagi semalam.
Penyerang antarabangsa Ivory Coast itu kini sudah menjaringkan lapan gol sepanjang lapan penampilan di Stadium Wembley dan kemenangan ke atas Liverpool adalah gelaran Piala FA keempat dimenanginya bersama kelab barat London itu.
Ia satu rekod membanggakan dan bekas bintang Marseille itu yang dikatakan akan meninggalkan Chelsea selepas kontraknya tamat hujung musim ini amat gembira sekali lagi memberi impak pada perlawanan besar.
“Inilah sebab utama saya ke sini iaitu untuk memenangi trofi dan mencipta sejarah bersama Chelsea.
“Saya sentiasa berjaya menjaringkan gol di sini. Seperti yang sering saya katakan sebelum ini, jaringan terakhir saya adalah yang terbaik dan kali ini, saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan ini. Saya hanya mahu meraikannya bersama penyokong setia kami.
” Ketika Drogba berjaya mencuri perhatian ramai pada perlawanan besar itu, dia bagaimanapun menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan, terutama Frank Lampard yang sering melorongkan bola cantik kepadanya.
“Saya sangat bangga tapi pujian juga perlu diberikan kepada rakan sepasukan.
“Sepanjang enam tahun terakhir ini, saya sering beraksi di pentas final. Saya amat gembira dan berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana mereka sentiasa bertindak cemerlang untuk membolehkan saya menjaringkan gol.
“Kami mencipta sejarah, bukan saya seorang saja. Keputusan ini amat hebat buat kami, untuk penyokong dan juga kelab,” katanya.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan