19 Mei 2012

‘Kami sudah bersedia’ - Lampard

Pemain tengah Chelsea, Frank Lampard berazam menamatkan tahun yang penuh kacau-bilau dengan bergaya awal pagi esok selepas musim turun naik menyaksikan mereka bangkit daripada kemerosotan dan kini berada di ambang kegemilangan Liga Juara-Juara.


Tiga bulan lalu, karier Lampard di Chelsea kelihatan menuju penghujung, dengan pemain berusia 33 tahun itu berada di bangku pemain simpanan ketika Blues kecundang 1-3 pada perlawanan pertama, pusingan kedua menentang Napoli.

Ia berikutan ketegangan beberapa bulan bersama Andre Villas-Boas, pengurus muda Portugis yang diberi tugas getir merombak pasukan Chelsea yang memenangi tiga kejuaraan liga sejak 2005.

Pemecatan mengejut Villas-Boas pada awal Mac bagaimanapun nyata menjadi mangkin perubahan nasib Lampard dan Chelsea.

Dengan Roberto Di Matteo dilantik sebagai pengurus sementara, dia kembali disenarai dalam kesebelasan utama dan menjaringkan penalti penting ketika Chelsea mengatasi defisit 1-3 menentang Napoli menerusi kemenangan menakjubkan 4-1.

Walaupun tidak bermula ketika kemenangan 1-0 pada suku akhir pertama ke atas Benfica, dia bermain setiap perlawanan sejak itu, menghasilkan persembahan mengagumkan pada kedua-dua pertemuan separuh akhir menentang Barcelona.

Dalam kedua-dua perlawanan menentang Barca, visi Lampard dari bahagian tengah membantu mencipta gol penting buat Didier Drogba dan Ramires.

Tanpa John Terry yang digantung, Lampard kini menjadi kapten Chelsea pada final menentang Bayern di Allianz Arena, awal pagi esok.

“Kami tidak diberi peluang langsung pergi jauh, hampir tersingkir di tangan Napoli, kemudian kami diundi menentang Barcelona,” kata Lampard.

“Kami tidak terkejut tapi bila menyedari hakikat berada di final, ia memang lebih menyeronokkan.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...