1 Mei 2012

Senyuman Abramovich dan Torres

Siapa agaknya yang paling gembira dengan pesta jaringan di Stamford Bridge kelmarin, adakah penyerang Chelsea, Fernando Torres yang melakukan hatrik, atau pemilik kelab itu Roman Abramovich yang tersenyum lebar ketika menyaksikan Queens Park Rangers menjadi mangsa amukan The Blues.


Torres mendapat penghormatan penonton selepas menjaringkan gol kedua dan ketiga EPL ketika Chelsea menang 6-1 pada perlawanan itu serta membuatkan Abramovich yang kelihatan kusut tidak bercukur, mengukir senyum kegembiraan.

Dahi Abramovich, sama seperti Torres sudah cukup lama berkerut ekoran persembahan hambar hingga menyebabkan pengurus Andre Villas-Boas dipecat Mac lalu.

Riak wajah ceria selepas kemenangan itu sudah lama hilang dari Abramovich. Dengan penuh rasa teruja, beliau mengucapkan tahniah kepada Torres yang melakukan hatrik, prestasi yang melegakan jutawan Russia itu menjelang final Liga Juara-Juara dan Piala FA serta baki perlawanan EPL musim ini dengan sasaran skuad itu memburu tempat keempat liga.

Torres yang sebelum ini kemarau jaringan juga sudah pasti beroleh keyakinan. Sementara itu, Abramovich perlu menimbang sama ada mahu melantik jurulatih dari Itali, Roberto Di Matteo sebagai pengurus tetap atau sebaliknya, selepas beliau yang menjadi pembantu jurulatih sebelum ini, menjadi pencetus inspirasi kebangkitan Chelsea apabila Villas-Boas dipecat. Kebimbangan kemarau pemain termahalnya dari Sepanyol sudah berakhir.

Torres gagal menjaringkan gol bersama Chelsea sejak melakar rekod perpindahan terbesar Britain apabila yuran perpindahannya mencecah 50 juta (RM247 juta) ketika dibeli dari Liverpool pada Januari tahun lalu, namun dia kembali ke puncak prestasi yang menjadikannya penyerang Eropah paling klinikal dan digeruni.

“Perasaan ini amat berbeza dengan yang pernah saya rasakan sebelum ini,” kata Torres selepas melakukan hatrik yang menyusul selepas menjaringkan gol pada separuh akkhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Selasa lalu.

“Dulu perasaan saya amat bagus, kecergasan saya di tahap terbaik dan bermain cemerlang, cuma gagal menjaringkan gol.

“Kini saya tidak bermain dengan bagus namun dapat menjaringkan gol, inilah yang lebih penting buat setiap penyerang.” Torres, 28, bergelut memburu jaringan sejak meninggalkan Liverpool. 

Kemarau jaringannya berlarutan terlalu lama bermula hujung April tahun lalu hingga hari ini, dia mencatat nama selaku penjaring lapan gol musim ini ketika saingan Liga Perdana hanya berbaki tiga perlawanan.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...