Didier Drogba mendedahkan dia dihantui memori kegagalan sepakan penalti pada Piala Negara-Negara Afrika ketika tampil untuk mengambil sepakan penentuan Chelsea menentang Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Februari lalu, Drogba tidak dapat dimaafkan apabila dia menyepak bola melepasi palang ketika kekalahan Ivory Coast pada final Piala Negara-Negara Afrika di tangan Zambia, kesilapan yang menafikan kemenangan pasukannya.
Pemain berusia 34 tahun yang juga bekas pemain terbaik Afrika itu mendedahkan fikirannya kembali melayang ke saat-saat di Libreville itu ketika dia mahu mengambil sepakan penentu Chelsea apabila mereka menang 4-3.
“Saya berasa yakin sebelum mengambilnya tapi masih terngiang-ngiang di fikiran saya apa yang berlaku di Piala Negara-Negara Afrika apabila saya boleh memastikan kemenangan buat pasukan saya,” kata Drogba.
“Jadi ia amat sukar.” Namun penyerang Chelsea itu berkata, dia berazam tidak mengecewakan wira pasukan itu, Petr Cech, yang menyelamatkan sepakan penalti pada masa tambahan daripada Arjen Robben sebelum menafikan Ivica Olic ketika penentuan penalti.
“Petr Cech memang penjaga gol terbaik di dunia,” kata Drogba, yang menyamakan kedudukan buat Chelsea pada minit ke-88 untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
“Petr membawa kami ke peringkat itu. Jadi apabila saya mahu mengambil sepakan itu, saya mahu menjaringkan gol buatnya, buat rakan sepasukan saya.” Penalti kemenangan Drogba turut memadamkan igauan buruk penyerang itu berikutan kekalahan pada final Liga Juara-Juara kepada Manchester United pada 2008 di Moscow.
Pada perlawanan itu, Drogba dibuang padang pada masa kecederaan, menafikan Chelsea seorang daripada pengambil sepakan penalti terbaik mereka ketika penentuan penalti yang dimenangi United.
“Saya mahu Chelsea tersenyum berbanding masa lalu apabila kami kecewa dan sesetengah pemain menangis,” kata Drogba. “Saya gembira membuatkan mereka tersenyum.” Ironinya buat Drogba, sepakan penalti kemenangan awal pagi semalam mungkin sepakan terakhirnya menyarung jersi Chelsea.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan