Didier Drogba berazam menebus kekecewaan di Moscow dengan menamatkan penantian Chelsea untuk ditabal juara Eropah pada final Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, awal pagi Ahad ini.
Drogba memiliki memori memilukan pada penampilan tunggal final pertandingan elit kelab Eropah itu selepas dibuang padang pada masa tambahan ketika Blues kalah pertembungan final 2008 kepada Manchester United dalam hujan lebat di ibu negara Russia itu.
Penyingkiran Drogba hadir pada hujung masa tambahan apabila menumbuk pertahanan United, Nemanja Vidic selepas pergaduhan besar membabitkan pemain kedua-dua pasukan.
Dengan Drogba tidak boleh mengambil sepakan penalti ketika penentuan, penyerang Ivory Coast itu terpaksa menyaksikannya dari tepi padang apabila sepakan John Terry dan Nicolas Anelka tersasar sekali gus memberikan trofi kepada United.
Ketika Chelsea bergelut untuk kembali ke final Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun, Drogba dilihat tidak mungkin berpeluang memadam terus memori duka itu.
Namun Drogba dan Chelsea yang dibarisi pemain berusia menafikan segala ramalan untuk mara ke final sekali lagi selepas kemenangan dramatik ke atas Napoli, Benfica dan Barcelona pada peringkat kalah mati.
Kini pemain berusia 34 tahun itu bercadang mengubah kedukaan Moscow kepada kegembiraan apabila anak buah Roberto Di Matteo berdepan Bayern di gelanggang sendiri, Allianz Arena di Munich hujung minggu ini.
“Saya mengalami banyak kekecewaan tapi saya juga mempunyai saat-saat hebat pada final dan mahu memastikan kali ini ia sesuatu yang bagus,” kata Drogba.
“Selepas Moscow, kami berasa akan ke final tahun berikutnya. Tapi amat sukar untuk mara ke final.“Ia membuktikan kami berhak berada di sana kali ini kerana sudah beberapa tahun berlalu.
“Kami melakukan tugas hebat untuk mengatasi Barcelona tapi kami berdepan satu lagi perlawanan. Kini hanya satu perlawanan untuk muncul juara.”[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan