Juara bertahan, Chelsea menyekat impian Manchester United untuk
mencari kejuaraan berganda musim ini apabila meraih kemenangan tipis 1-0
di Stamford Bridge pada saingan suku akhir ulangan Piala FA.
Penyerang antarabangsa Senegal, Demba Ba memecah kebuntuan antara
kedua-dua pasukan pada minit ke-49 untuk meletakkan Chelsea berada di
kalangan empat pasukan yang masih berpeluang memburu kejuaraan Piala FA
dan ia merupakan kali keenam dalam lapan musim.
Melalui hantaran menarik daripada Juan Mata, Ba melepaskan satu
sepakan voli menarik yang tidak mampu diselamatkan oleh David De Gea.
Chelsea bakal berdepan Manchester City pada saingan separuh akhir di Stadium Wembley, 14 April ini.
Walaupun mungkin tidak popular di kalangan penyokong setia Chelsea,
Rafael Benitez berpeluang membawa kelab London itu meraih dua trofi
iaitu Liga Europa selain Piala FA.
''Ini adalah kemenangan yang cukup istimewa dan kami cukup gemar
beraksi di Wembley serta sentiasa mahukan kejayaan dalam kejohanan Piala
FA," kata penjaga gol Chelsea, Petr Cech.
Bagi United, kekalahan itu bermakna mereka selama sembilan tahun
gagal mengecapi trofi Piala FA dan hanya tinggal kejuaraan Liga Perdana
Inggeris (EPL) paling realistik buat anak-anak buah Alex Ferguson.
Keputusan Ferguson meletakkan Robin Van Persie di bangku simpanan dan
menggandingkan Danny Welbeck serta Javier Hernandez menimbulkan
persoalan besar kerana menyimpan penyerang terbaik yang dia miliki
setelah Wayne Rooney terpaksa diketepikan kerana kecederaan pangkal
paha.
Benitez yang sebelum ini mengadu Ferguson enggan bersalaman dengan
dirinya pada perlawanan suku akhir pertama, akhirnya kelihatan berdamai
apabila kedua-dua pengurus terbabit bersalaman ketika keluar daripada
terowong pemain.
Mata berpeluang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-89 tetapi bola
gerakan bersama yang dilakukan bersama Eden Hazard menuju tepat ke arah
De Gea.
Walaupun Ferguson membawa masuk Van Persie dan Ryan Giggs bagi
mencari gol penyamaan namun situasi itu tidak membantu sebaliknya Chelse
kekal bertahan dengan baik.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan