16 April 2013

Aguero perlu meminta maaf - Luiz

Sergio Aguero hanya menunggu nasibnya, sama ada akan digantung atau tidak, gara-gara memijak pertahanan Chelsea, David Luiz dengan kedua-dua belah kaki ketika membantu Manchester City menang 2-1 pada separuh akhir Piala FA kelmarin. 

 
Pengadil, Chris Foy dan pembantunya terlepas pandang insiden tersebut dan hanya memberi sepakan percuma kepada Chelsea, sedangkan tindakan Aguero boleh mengundang kepada layangan kad merah. 

Kini, Persatuan Bola sepak (FA) England akan berbincang mengenai insiden yang berlaku pada minit ke-82 itu, sebelum memutuskan apakah hukuman akan dijatuhkan ke atas Aguero atau membiarkan saja perkara itu. 

Pada ketika pemain-pemain Chelsea berang dengan insiden di Wembley, pengurus mereka, Rafael Benitez enggan mengulas mengenai Aguero. "Tonton sendiri video. Saya tidak mahu cakap tentang pemain lain," katanya ringkas. 

Sementara itu, Luiz mahu Aguero meminta maaf atas perbuatannya untuk memberi contoh yang baik kepada bola sepak. 

Pemain antarabangsa Brazil itu berkata, dia tidak fikir Aguero mempunyai niat jahat untuk mencederakannya tetapi bintang Argentina itu perlu memohon maaf kepadanya untuk menunjukkan contoh kepada peminat di seluruh dunia.

"Saya memaafkan semua orang dalam hidup saya tetapi Aguero adalah seorang pemain yang hebat dan dia perlu bersikap jujur kepada dirinya dengan memberitahu semua orang, dia bukan jenis pemain yang suka melakukan terjahan buruk. 

"Kalau saya berada di tempatnya, saya akan meminta maaf dan berkata, ini bukan sikap sebenar saya. Perkara ini tidak bagus untuk bola sepak, kanak-kanak menonton perlawanan dan perlu melihat perkara yang baik. 

"Kita perlu menunjukkan kecantikan bola sepak. Dalam perlawanan seperti ini, kedua-dua pasukan mahu menang, jadi kadang kala sikap orang boleh bertukar dan mereka melakukan perkara yang tidak dimaksudkan," kata Luiz. 

Dalam perlawanan kelmarin, Foy bukan saja tidak mengenakan sebarang hukuman terhadap Aguero, malah gagal menghadiahkan penalti kepada Chelsea pada lewat perlawanan selepas Vincent Kompany secara terangan menarik baju Fernando Torres dalam kawasan penalti City. 

Biarpun pengadil tidak menyebelahi Chelsea, namun Luiz menegaskan, Blues harus menyalahkan diri sendiri kerana memulakan perlawanan dengan perlahan dan membenarkan mereka ketinggalan 0-2. 

"Mereka (City) pasukan yang lebih baik di babak pertama. Selepas separuh masa, baru kami bangkit dan mencipta banyak peluang. 

"Kami tidak patut bermula perlahan, kalau pun tidak boleh mencipta jaringan kami sepatutnya tidak membenarkan lawan membolosi gawang dua kali," ujarnya lagi. 

Kekalahan kelmarin meletakkan Chelsea kini hanya memiliki satu kejuaraan untuk dikejar, Liga Europa. Kelab London itu akan bertemu wakil Switzerland, Basel pada separuh akhir pertama, hujung bulan ini.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...