Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez
memberitahu kapten Blues, John Terry bahawa tiada jaminan dia akan
berada dalam kesebelasan utama apabila menentang Liverpool, walaupun
menjaringkan dua gol ketika menewaskan Fulham 3-0 di Craven Cottage,
semalam.
Terry cemerlang meledakkan dua gol, manakala gandingannya di
pertahanan tengah, David Luiz menjaringkan satu gol untuk membantu
Chelsea memintas Arsenal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.
Pemain pertahanan Brazil, Luiz membuka jaringan apabila rembatan
jauhnya dari jarak 35 meter menewaskan Mark Scharwzer pada minit ke-30,
sebelum Terry menambah gol pada minit ke-42 dan ke-71.
Bagaimanapun kata Benitez, Terry yang direhatkan di bangku simpanan
ketika Chelsea kalah 1-2 kepada Manchester City pada separuh akhir Piala
FA minggu lalu, masih dipertimbangkan untuk diturunkan di Anfield, Ahad
ini atas polisi penggiliran pemain.
"Dia (Terry) begitu gembira kerana menjaringkan gol, ia bagus buat
dia dan pasukan. Saya benar-benar gembira dengan prestasinya yang
semakin baik.
"Semua pemain perlu bersedia kerana kami akan beraksi dalam lapan
atau sembilan perlawanan lagi dan semua orang harus memastikan mereka
boleh memberikan permainan terbaik.
"Kami perlu kekal pada kedudukan tiga teratas tetapi pada masa yang
sama juga perlu memberi tumpuan kepada Liga Europa. Kami mahu bertanding
dalam kedua-dua kejohanan.
"Mereka (pemain) tahu perkara paling penting buat pasukan adalah
kemenangan. Saya memang gembira dengan prestasi yang dipamerkan Terry
tetapi pasukan juga perlu menang," kata Benitez.
Benitez kagum dengan kebangkitan yang ditunjukkan pasukannya ketika
menentang City biarpun berdepan jadual yang padat sejak beberapa minggu
ini.
"Kami mengharungi dua perlawanan dalam masa seminggu dan ia telah
berlarutan sepanjang empat atau lima bulan, jadi ia bukan mudah untuk
mengekalkan konsentrasi dan memastikan pemain tidak letih.
"Semua pemain mahu beraksi dalam setiap perlawanan tetapi mereka kena
sedar, mereka tidak boleh memberikan 100 peratus setiap kali beraksi,"
jelasnya.
Seandainya menang di Liverpool Ahad ini, ia akan mengukuhkan Chelsea
pada kedudukan empat teratas liga, seterusnya layak ke Liga Juara-Juara
musim depan. Ini juga adalah kepulangan pertama Benitez ke Anfield sejak
meninggalkan bekas kelabnya itu.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan