Penyerang Chelsea, Didier Drogba tidak akan bersama pasukan itu ke  Sunderland hari ini dan dijangka akan diketepikan pada aksi menentang  Manchester United dalam perlawanan seterusnya Liga Perdana Inggeris  (EPL) di Old Trafford.
Pemain berusia 33 tahun itu mengalami gegaran kepala selepas  terbabit dalam perlanggaran ketika Chelsea menang ke atas Norwich City  hingga pengsan dan sehingga kini dia masih tidak turun ke sesi latihan  penuh sejak EPL berehat untuk saingan antarabangsa.
Pengurus kelab itu Andre Villas-Boas mengesahkan Drogba juga akan  disisihkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen minggu  depan.“Pasukan perubatan akan memantau perkembangannya sehingga pulih sepenuhnya dan kembali berlatih,” kata Villas-Boas.
“Dalam sesi latihan ringan bersama fisio kami, dia melakukannya  dengan baik. Kami akan sama-sama bekerja keras untuk memastikannya  kembali pada perlawanan menentang MU. Saya tidak  rasa dia boleh beraksi  menentang Leverkusen,” kata Villas-Boas.
Ketiadaan Drogba  bermakna Fernando Torres akan berada dalam kesebelasan Chelsea bagi dua  perlawanan berturut-turut musim ini sekali gus memberinya peluang untuk  mengubati rasa kecewa selepas diketepikan daripada skuad Sepanyol untuk  perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Liechtenstein beberapa hari  lalu.
Daniel Sturridge yang dipinjamkan ke Bolton musim lalu juga  dijangka mendapat perhatian pengurus itu selepas kembali daripada  penggantungan.“Sturridge tidak pernah berhenti berlatih sejak dia kembali,” kata Villas-Boas.
“Dia amat kompetitif semasa latihan. Anda pernah lihat dia boleh  bermain dengan baik pada pramusim dan ketika bersama Bolton.   Kehadirannya  adalah satu pilihan untuk memperkuatkan pasukan.”    Skuad  Villas-Boas mengakhiri musim perpindahan pemain dengan membawa masuk  Raul Meireles dari Liverpool manakala Yossi Benayoun meninggalkan kelab  itu untuk ke Arsenal.
“Kami bercakap mengenai keperluan mengisi ruang di bahagian tengah dan membawa masuk pemain tambahan,” katanya.
Kini Villas-Boas perlu menyuntik semangat kepada pasukan untuk  melontarkan cabaran kepada Manchester United dan Manchester City yang  bermula dengan cemerlang musim ini.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan