30 Oktober 2012

Di Matteo rayu kekalkan Cole

Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo merayu kepada Roman Abramovich agar melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengekalkan Ashley Cole di Stamford Bridge.


Kontrak bintang pertahanan England itu akan tamat pada musim panas depan dan dia kecewa selepas Chelsea hanya menawarkan kontrak selama 12 bulan kepada pemain terbabit. 

Cole sebaliknya, bersedia untuk menolak tawaran tersebut dan meninggalkan juara Eropah itu dengan perpindahan percuma. 

Bagaimanapun kelmarin, Di Matteo menegaskan, dia secara terang-terangan memberitahu pemilik kelab supaya mengekalkan tonggak senior itu.

“Saya mencadangkan, malah menjadi hasrat saya agar dia akan kekal di sini (Chelsea).Dia antara bek kiri terbaik di dunia dan aset penting untuk kelab ini. Dia memiliki segalanya dan masih mempunyai masa depan beberapa tahun di lagi," kata Di Matteo. 

Abramovich mempunyai polisi hanya menawarkan kontrak tahun demi tahun kepada pemain yang sudah melepasi 30 tahun dan Cole kini berusia 31 tahun.

Bagaimanapun, Di Matteo berkata, setiap kes tidak harus dilayan sama rata.“Semua kes adalah berbeza. Anda kena lihat perkara ini secara individu, bergantung kepada sejarah dan keadaan fizikal pemain.

“Saya akan mengemukakan cadangan tetapi pada akhirnya, ia terpulang kepada ahli lembaga untuk membuat keputusan. Apa yang cuba saya tekankan di sini, saya mahu dia (Cole) dikekalkan," ujar Di Matteo.

Tambah Di Matteo lagi, Cole adalah tonggak penting pasukan dan dia bermain dalam semua perlawanan.Dia bukan saja mampu bertahan dengan baik, malah sering membantu serangan. Dia kerap mencipta gerakan-gerakan kepada penyerang."

Cole, yang meninggalkan Arsenal pada 2006 turut menarik minat gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid, Paris St. Germain (Perancis) dan kelab Rusia, Zenit St. Petersburg.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...