21 Oktober 2012

Chelsea kukuh kedudukan pendahulu

Juan Mata meledakkan dua gol untuk membantu Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 4-2 pada aksi Liga Perdana England malam tadi.


Kemenangan di White Hart Lane itu turut mengukuhkan kedudukan skuad The Blues di persada liga dengan mengumpul 22 mata daripada lapan perlawanan pertama musim ini.

Namun, skuad The Blues berada dalam situasi bahaya dan hampir mengalami kekalahan pertama musim ini selepas ketinggalan 1-2 pada minit ke-54.

Selepas mendahului seawal minit ke-17 menerusi Gary Cahill, juara Eropah yang beraksi tanpa kapten, John Terry yang digantung empat perlawanan dikejutkan dengan dua gol pasukan tuan rumah masing-masing satu daripada William Gallas pada minit ke-47 dan Jermain Defoe (54).

Bagaimanapun, Mata mengesahkan kemenangan ketujuh Chelsea apabila mengikat kedudukan pada minit ke-66 sebelum meledakkan gol kedua peribadi dan ketiga skuad The Blues (69).

Pemain tengah Sepanyol itu turut membantu Daniel Sturridge menyumbat gol keempat pada minit-minit akhir permainan, sekali gus meleburkan impian pengurus Spurs, Andre Villas-Boas untuk membalas dendam setelah dipecat Chelsea, Mac lalu.

Selepas menewaskan Arsenal dan Spurs, skuad bimbingan Roberto di Matteo itu menampilkan aksi yang lebih hebat terutamanya di posisi serangan dan kelihatan serius dalam memburu gelaran juara Liga Perdana England musim ini.

"Kami hilang kawalan pada awal babak kedua tetapi kami mengambil inisiatif untuk menguasai keseluruhan perlawanan itu dan kami berhak untuk menang," kata Di Matteo.

"Perlawanan ini menguji karakter kami untuk datang ke sini (White Hart Lane) dan bermain menentang sebuah kelab yang hebat. Terdapat banyak isu yang menyelubungi pasukan sejak akhir-akhir ini tetapi kami menghadapinya dengan baik."

Bagi Spurs, kekalahan itu mencalarkan rekod cemerlang Villas-Boas dalam kempen liga musim ini.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...