Gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea berdepan ujian terbesarnya
dalam usaha mempertahankan kejuaraan Eropah apabila berkunjung ke
Ukraine untuk menentang pasukan yang sedang berada di kemuncak prestasi,
Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara, esok.
Chelsea berada pada prestasi terbaiknya apabila mengekalkan rekod
tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana dengan membenam Tottenham 4-2
kelmarin. Itu adalah kemenangan ketujuh mereka daripada lapan
perlawanan.
Begitupun, pencabar Blues, Shakhtar juga sedang berada pada prestasi cemerlang dengan memenangi kesemua 12 perlawanan liga domestik setakat ini.
Malah, mereka turut mengutip satu mata berharga di Itali, tiga minggu lalu apabila seri 1-1 dengan juara Serie A, Juventus.
Chelsea dan Shakhtar kini berkongsi empat mata daripada dua perlawanan untuk mengungguli Kumpulan E.
Kapten, John Terry bakal menguatkan semula pasukan selepas digantung dalam empat perlawanan domestik.
Kehadirannya mampu menguatkan tonggak benteng pertahanan Chelsea yang
perlu berwaspada dengan kelibat penyerang Armenia, Henrikh Mkhitaryan
yang telah meledakkan 16 gol buat Shakhtar setakat ini.
Perlawanan esok juga menjadi ujian sebenar buat trio Blues, Juan Mata, Oscar dan Eden Hazard selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Perdana.
Rangkaian tiga pemain itu mencipta kreativiti di bahagian tengah pasukan.
"Kami amat bernasib baik kerana kedua-dua pemain baru (Hazard dan
Oscar) cepat menyesuaikan diri dengan pasukan dan corak perlawanan Liga
Perdana Inggeris.
"Pemain menunjukkan sikap yang bagus apabila bermain di tempat lawan.
Bagaimana semangat mereka ketika beraksi di tempat sendiri, begitu
jugalah yang ditunjukkan apabila berkunjung ke tempat lawan... Terutama
ketika di White Hart Lane (menewaskan Tottenham).
"Kami telah mengambil inisiatif, walaupun tidak bermain di depan
penyokong sendiri tetapi itu tidak bermakna kami harus memberi peluang
kepada pemain lawan. Gaya kami tetap sama, kami mahu kemenangan,'' kata
pengurus Chelsea, Roberto di Matteo.
Chelsea membelasah pendatang baru dari Denmark, FC Nordsjaelland 4-0
dalam perlawanan terakhir mereka, namun cabaran yang bakal diterima kali
ini jauh berbeza kerana Shakhtar bukan calang-calang lawan.
Kelab Ukraine itu menumpaskan Mariupol 2-1, Jumaat lalu untuk memahat rekod kemenangan liga ke-21 berturut-turut.
Anak-anak buah Mircea Lucescu meneraju liga dengan kelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, FC Dnipro Dnipropetrovsk.
Lucescu, jurulatih dari Romania berkata, prestasi yang dipamerkan
pasukannya lebih daripada memuaskan, malah memberi amaran mereka
bersedia untuk memberi kejutan kepada Chelsea apabila menerima kunjungan
kelab London itu, esok.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan