Penyerang Chelsea, Diego Costa tercicir daripada senarai awal 25 pemain skuad Sepanyol untuk Euro 2016 yang diumumkan hari ini.
Pemain naturalisasi dari Brazil itu tidak bermain dalam dua perlawanan terakhir Chelsea musim ini akibat kecederaan hamstring berulang dan prestasinya di peringkat antarabangsa tidak begitu baik apabila hanya menjaringkan satu gol daripada 10 perlawanan sejak mengumumkan akan bermain untuk Sepanyol pada 2013.
“Kami tidak mahu membawa terlalu ramai pemain yang diragui kecergasan mereka,” kata jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque mengenai ketiadaan nama Costa dalam senarai juara bertahan dua kali itu.
Del Bosque akan mengecilkan skuadnya kepada 23 pemain pada 31 Mei ini.Pemenang Piala Dunia Fernando Torres, Juan Mata dan Javi Martinez juga adalah antara nama besar yang tidak dipanggil oleh Del Bosque.
Ketiadaan Torres, yang prestasinya sedang di tahap baik, serta Costa bermakna Del Bosque hanya mempunyai dua penyerang tengah untuk dipilih iaitu pemain berusia 35 tahun Aritz Aduriz dan Alvaro Morata dari Juventus.
Pemain Arsenal, Santi Cazorla turut tersingkir kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut.
Pemain yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan Saul Niguez dan Lucas Vazquez daripada Atletico Madrid dan Real Madrid berada dalam senarai 25 pemain, manakala kejutan berlaku di bahagian tengah apabila ketua pasukan Villarreal, Bruno Soriano tersenarai dalam kalangan 10 pemain di posisi itu.
Del Bosque turut menamakan 11 pemain muda ke dalam skuad yang akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Bosnia Herzegovina dan Korea Selatan masing-masing pada 29 Mei dan 1 Jun dengan pemain-pemain daripada Real dan Atletico pula bersedia untuk bersaing sesama sendiri dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara pada 28 Mei.
Sepanyol akan memulakan kempen mereka dengan menentang Republik Czech pada 13 Jun dan kemudian bertemu Turki dan Croatia dalam Kumpulan D.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan