26 September 2012

Sukar mencari pengganti Terry

Sama ada anda menyukainya atau tidak, sukar untuk menafikan kebolehan John Terry sebagai bek tengah banyak membantu England dalam tempoh sembilan tahun ini.


Hanya kini kita akan melihat betapa sukarnya mencari pemain yang peka terhadap bahaya dan tidak takut untuk melayangkan badan ke arah lawan untuk menghalang mereka menjaringkan gol.

Watak seperti itu jarang ditemui, apatah lagi bagi pemain yang boleh menguasai bola. Terry adalah seorang daripadanya. 

Ya, gerakannya begitu perlahan ketika menentang Jerman pada Piala Dunia terakhir tetapi ia lebih dikaitkan dengan England yang semakin merosot berbanding prestasi Terry yang turut menjunam.

Pada usia 31 tahun, banyak yang mampu disumbangkannya seperti yang dibuktikannya pada Euro apabila menterjemahkan taktik pertahanan Roy Hodgson di padang. 

Tidak hairanlah mengapa jurulatih England itu sedih apabila dia meninggalkan pasukan itu. Di Poland dan Ukraine, Hodgson menyaksikan sendiri skil kepimpinan yang menjadikan Terry seorang kapten sejak usia muda. 

Apabila keadaan memaksa, watak seperti itu menyerlah. Rakan sepasukan yang muda mencari seseorang untuk bimbingan dan galakan. Sikap enggan mengalah seperti itu memberi kesan terhadap pasukan.

 Begitupun personaliti Terry yang dominan mungkin menjengkelkan sesetengah orang. Apabila bintang Chelsea itu tiada, dikatakan suasana di kem England menjadi lebih baik tanpa kritikan tajam Terry. Hasilnya, ada segelintir daripada mereka tidak sedih apabila dia pergi. Mereka menantikan saatnya untuk era baru yang tidak lagi dibayangi kehadiran Terry.

Begitupun ia juga akan menjadi era yang setidak-tidaknya bermula dengan ketidakpastian. Kehilangan seseorang yang mempunyai pengalaman luas seperti Terry pastinya dirasai.

Pasukan itu kehilangan suara yang berpengaruh, yang menyelaras pasukan itu. Mengisi kekosongan itu bukan perkara mudah.

Siapa boleh menggantikan Terry dalam skuad England?

Rio Ferdinand

Satu pilihan yang menarik. Sekiranya tonggak United itu melalui musim yang konsisten, bagaimana mungkin Hodgson mengabaikan pemain sehebat itu? Pengurus England perlu memikirkan sebabnya kerana menggugurkan pemain itu dari awal. Itupun jika Ferdinand masih bersemangat.


Joleon Lescott

Menghampiri kedudukan teratas calon pilihan selepas bergandingan dengan Terry dalam Kejohanan Eropah di Ukraine dan mempamerkan kejayaan membanggakan. Seperti rakan sepasukannya, Lescott adalah pertahanan sejati yang boleh diharapkan untuk melakukan tugas itu.


Phil Jagielka

Seorang lagi pemain yang boleh diharapkan dengan kepantasan di tahap tertinggi dan kemampuan membaca permainan dengan baik. Begitupun, seperti juga Lescott, pemain berusia 30 tahun itu tidak boleh dianggap sebagai pengganti kekosongan Terry di posisi pertahanan untuk jangka panjang.


Gary Cahill

Rakan sepasukan Terry di Chelsea berusia 26 tahun itu mempunyai banyak masa selain berkebolehan muncul secara tiba-tiba di kubu lawan untuk menjaringkan gol mengejutkan. Penguasaan bola sederhana menjadikan Cahill benar-benar selesa di pentas antarabangsa.


Phil Jones

Menghampiri kualiti Terry dari segi kepemimpinan dan keberanian. Pemain muda itu bagaimanapun perlu cergas dan sentiasa diturunkan sebagai bek tengah Manchester United.


Chris Smalling

Dia dan Jones adalah pemain England paling menyerlah dalam kejohanan Bawah 21 tahun yang lalu. Sebagai pasangan, mereka dilihat cukup mantap dan sedia membawa bola naik dari kubu sendiri. Gandingan mereka akan matang seiring usia.


Steven Caulker

Hodgson dikatakan kagum dengan pemain berusia 20 tahun yang menyerlah dalam skuad B-21 England. Caulker menyerlah musim ini tetapi perlukan lebih banyak peluang bermain di Tottenham Hostpur.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...