21 September 2012

Roberto Di Matteo kecewa chelsea seri

Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo menanti dengan penuh debar mengenai nasib pemain tengah Brazil, Oscar selepas pemain itu mempamerkan persembahan hebat membantu juara bertahan itu seri 2-2 dengan Juventus pada perlawanan pembukaan Kumpulan E Liga Juara-Juara, semalam.

 
Oscar membuka tirai jaringan pada minit ke-31, disusuli jaringan kedua dua minit kemudian menerusi rembatan jarak jauh yang menakjubkan.

Namun dua gol pendahuluan itu tidak memberikan sebarang makna apabila pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan.

Bertambah malang, pemain berusia 21 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada pertengahan perlawanan ekoran dikasari pada bahagian buku lali oleh Arturo Vidal.

Di Matteo ternyata terlalu kecewa dengan terjahan oleh pemain Juventus itu dan mahu Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengkaji kembali insiden berkenaan sambil belum pasti sama ada Oscar dapat bermain pada Sabtu ini bertemu Stoke City.

"Terjahan ke atas Oscar amat kasar dan memaksa dia dikeluarkan. Kami terpaksa memeriksa keadaan Oscar terlebih dahulu tetapi saya rasa ada keretakan pada buku lalinya.

"Pengadil tidak memberikan sebarang tindakan terhadap insiden dan saya mahu UEFA melihat kembali tetapi kami perlu sentiasa positif selepas ini, " katanya.

Walaupun Di Matteo turut kecewa dengan kebangkitan semula Juventus memadamkan kelebihan dua gol menerusi Oscar hasil gol Vidal dan pemain gantian, Fabio Quagliarella, dia kagum dengan permainan Oscar.

Gol pertama Oscar bermula daripada bola yang mengenai pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci dan jaringan kedua peribadinya cukup menarik selepas memperdayakan dua pertahanan lawan dengan melakukan rembatan lencong dari jarak 25 meter.

"Ia persembahan pertama yang hebat daripada Oscar. Kami memikirkan ini ialah perlawanan terbaik untuk dia bermula dengan Chelsea.

"Dia berjaya melaksanakan tugasan dengan cemerlang dan menjaringkan dua gol, jaringan keduanya memang menakjubkan.

"Dia bersama dengan pasukan kebangsaan sebelum ini dan kami masih memerlukan untuk memastikan dia dapat serasi dengan pasukan ini. Dia mempunyai bakat yang besar dan sudah mampu berada dalam pasukan kesebelasan utama Brazil, kami jelas bertuah memilikinya," kata Di Matteo.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...