28 September 2012

Lembaran baru Marko Marin

Marko Marin puas apabila diberi peluang menyarung jersi Chelsea selama 20 minit, Selasa lalu dan kini mengalihkan perhatiannya terhadap perlawanan menentang Arsenal hujung minggu ini.


Selepas kecederaan hamstring menghalangnya beraksi dalam perlawanan persahabatan pra musim di Amerika Syarikat, pemain Jerman itu diberi peluang beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan Piala Liga Inggeris ketika menewaskan Wolves dan segera membuktikan kemampuannya apabila membantu gol keenam dan terakhir.

“Menghadapi kecederaan sewaktu pra musim dan jelajah AS memang sukar tetapi itulah yang berlaku dalam bola sepak. Kini saya gembira dapat kembali dan bermain untuk 20 minit pertama,” kata pemain berusia 23 tahun.

“Sudah tentulah ia tidak menyeronokkan buat mana-mana pemain apatah lagi apabila berdepan kecederaan tetapi kini saya rasa semakin baik dan boleh melupakan masa lalu serta memandang ke arah masa depan.

“Saya tidak mempunyai sasaran, sudah pastilah saya mahu bermain sebanyak mungkin dan kini saya kembali cergas 100 peratus, ia membuat saya gembira dan saya mahu kembali bermain. Isu kecederaan sudah selesai.”

Perhatian kini terarah ke pertemuan dua kelab London yang bertekad berada di puncak Liga Perdana Inggeris pada akhir musim. Arsenal menduduki tangga ketiga musim lalu manakala Chelsea di tangga keenam tetapi berjaya menjulang Piala FA dan Liga Juara-Juara. Marin pula bertekad untuk meletakkan dirinya sebagai sebutan dalam liga bola sepak Inggeris.

“Kami banyak berubah tahun lalu dan kini kami perlu lebih kreatif dan melakukan serangan dan saya harap kami boleh membantu meraih kejayaan seperti tahun lalu,” katanya.

“Kami berharap pasukan ini dapat menjaringkan banyak gol musim ini, kerana sebelum ini sukar pasukan lain menewaskan kami dengan adanya pemain yang mampu memberi kejutan.

“Arsenal adalah pasukan yang hebat tetapi mereka kehilangan Robin van Persie yang juga penjaring terbanyak tahun lalu dan kini berada di kelompok teratas.
Melihat pencapaian mereka memang menakjubkan.”

Seorang daripada pengganti Van Persie adalah rakan senegara Marin iaitu Lukas Podolski, yang mula mempamerkan prestasi membanggakan yang melayakkannya mendapatkan lebih 100 cap mewakili negara.

“Pada mulanya, segala-galanya baru baginya tetapi kini dia sudah membiasakan diri dan menjaringkan beberapa gol,” ulas Marin mengenai Podolski yang diletakkan di posisi sayap kiri.

“Saya tidak bercakap dengannya. Kami kenal satu sama lain dalam pasukan kebangsaan tetapi kami tidak berkawan baik. Saya banyak bercakap dengan Per Mertesacker kerana kami pernah bermain bersama di Bremen.

“Saya akan menentang dua pemain Jerman dan saya harap akan setia bersama pasukan. Apa yang penting adalah kemenangan dan mengekalkan kedudukan kami dalam Liga Perdana Inggeris.

“Kami juga mempunyai pertahanan yang bagus, jadi sukar untuk Lukas menembusi kami. Saya tidak pasti sama ada mereka pernah berdepan pasukan sehebat ini dan pasti sukar baginya. Saya juga amat mengenali Branislav Ivanovic, dia adalah antara pertahanan terbaik dunia jadi saya tidak gentar.”.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...