Roberto Di Matteo mempertahankan keputusannya
meminggirkan John Terry dan Frank Lampard selepas Chelsea bergelut untuk
meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Stoke di Stamford Bridge, kelmarin.
The Blues memerlukan gol Ashley Cole, yang pertama dalam tempoh lebih
dua tahun untuk melengkapkan kemenangan kurang memberangsangkan lima
minit sebelum tamat waktu selepas kedegilan dan corak penuh berdisiplin
lawan kerap menafikan asakan tuan rumah untuk hampir keseluruhan
perlawanan.
Terry dan Lampard hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak
kedua, tetapi persembahan goyah Chelsea mengundang seribu satu soalan
kenapa dua bintang senior itu tidak diturunkan pada awalnya.
"Kami harus menggunakan sepenuhnya kekuatan skuad ini. Kami mempunyai
ramai pemain yang bagus, dan kami hendak menurunkan mereka yang cergas.
"Kami telah banyak kali melakukannya sebelum ini dan akan terus
berbuat demikian kerana banyak perlawanan perlu dilalui. Kami tidak mahu
menjelang November nanti, pemain-pemain dihantui kepenatan.
"John Terry dan Frank Lampard adalah dua pemain menakjubkan. Mereka
berdua merupakan dua anggota paling berpengaruh dalam pasukan, sentiasa
menjadi pemimpin yang menjadi ikutan semua.
"Apabila mereka tidak terlibat, mereka sentiasa menyokong saya dan
menyokong pasukan dan untuk saya miliki pemain seperti mereka adalah
sesuatu yang menggembirakan.
"Apabila menentang Stoke, mereka sememangnya sukar untuk dirobek kerana bertahan dengan begitu ramai pemain sekali.
"Kalau kamu dapat gol awal, ia banyak membantu dan kalau tidak, maka
kamu perlu bekerja keras, cuba dan terus mencuba mencari ruang," kata Di
Matteo.
Perlawanan itu turut menyaksikan Chelsea menguji rangkaian tiga
pemain tengah, Eden Hazard, Juan Mata dan Oscar dalam kesebelasan utama
buat kali pertama dan biarpun gerakan kombinasi trio bintang muda itu
tampak menyakinkan, Di Matteo mengakui mereka masih memerlukan lebih
banyak masa untuk mencari keserasian.
"Ini kali pertama mereka bertiga bermain bersama. Banyak lagi usaha
perlu dilakukan secara taktikal untuk menyesuaikan setiap merka dalam
sistem kami," jelas Di Matteo.[utusan]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan