Kapten Chelsea, John Terry berdepan satu lagi ujian apabila pendahulu
Liga Perdana itu bertandang ke Arsenal, malam ini, perlawanan besar
pertama juara Eropah itu pada musim ini.
Terry kerap menerima publisiti negatif namun minggu ini tamparan paling hebat buat pemain berusia 31 tahun itu.
Dia mengejutkan bola sepak Inggeris awal minggu ini apabila memutuskan untuk menamatkan karier antarabangsa menjelang perbicaraan empat hari Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) yang mendapatinya bersalah kerana salah laku perkauman terhadap pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand dan digantung empat perlawanan.
Terry, yang dilepaskan dakwaan salah laku perkauman ke atas Ferdinand
oleh mahkamah, Julai lalu, diberi masa dua minggu untuk membuat rayuan
terhadap keputusan FA itu.Hukuman tidak berkuat kuasa hingga dia memutuskan tindakan seterusnya.
Situasi itu bukan cara terbaik membuat persediaan bertandang menentang Arsenal di Emirates walaupun kemampuan Terry mengetepikan gangguan luar padang daripada mindanya dan memberikan tumpuan penuh pada tugas di padang sudah terbukti pada masa lalu.
Dia mengetepikan tumpuan terhadap dirinya untuk membantu Chelsea
menang besar 6-0 ke atas Wolves dalam aksi Piala Liga awal pagi Rabu
lalu namun Arsenal menghidangkan cabaran lebih besar kepada seluruh
pemain Chelsea.
Terry diperlukan untuk berada di tahap terbaik jika Chelsea ingin mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menentang Arsenal, salah sebuah daripada tiga pasukan yang belum tewas dalam lima perlawanan pertama musim ini.
“Ini perlawanan besar pertama kami musim ini. Kami tahu tahap
persembahan dan kualiti keseluruhan pasukan tapi perlu membuktikan
kepada semua dan perlu mempamerkannya dalam setiap perlawanan,” kata
pertahanan Serbia, Branislav Ivanovic.
Chelsea belum turun menentang pencabar kejuaraan dan membuat permulaan yang baik pada saingan liga apabila menewaskan Wigan Athletic, Reading, Newcastle United dan Stoke City selain seri dengan QPR.
Mereka tidak mempamerkan persembahan meyakinkan ketika seri 2-2 dengan Juventus pada aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri dan Arsenal memberi cabaran yang sama selepas mempamerkan persembahan mengagumkan untuk mengikat juara bertahan, Manchester City 1-1 minggu lalu.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan