Rio Ferdinand mungkin dipanggil oleh pengurus England, Roy Hodgson menggantikan John Terry yang menyatakan hasrat bersara.
Ferdinand, 33, yang belum dapat membuat penampilan semulanya bersama
skuad kebangsaan England tetap percaya akan dipanggil oleh Hodgson
selepas Terry membuat pengumuman mengejut mahu bersara daripada aksi di
peringkat antarabangsa.
Seandainya Ferdinand dipanggil maka ia adalah tindakan awal Hodgson
untuk menjalin hubungan baik dengan pemain itu selepas diketepikan
daripada skuad Euro 2012.
Hodgson kini perlu membuat keputusan sukar untuk menamakan pemain
bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia menentang San Marino dan Poland
pada minggu depan.
Dalam pada itu, Hodgson tetap mengharap agar Terry dapat mempertimbangkan semula keinginan pemain itu untuk bersara.
Terry memutuskan untuk tidak mahu bersama skuad England kelmarin
meskipun dibenarkan bermain selepas hanya dilucutkan jawatannya sebagai
kapten sebelum perbicaraan dilaksanakan.
Pemain Chelsea itu juga bakal berdepan penggantungan lapan perlawanan
seandainya didapati bersalah oleh FA atas dakwaan bersikap perkauman
terhadap pemain pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand ketika
perlawanan Liga Perdana Inggeris, musim lalu.
"Sudah tentu saya amat kecewa kehilangan pemain seperti John yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.
"Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan John semasa
menjadi pengurus England dan saya doakan pemain itu mempunyai masa depan
yang baik bersama Chelsea," kata Hodgson.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan