14 September 2012

Permusuhan Terry , A.cole, Rio dan Anton berterusan

Pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand bersedia untuk tidak berjabat dengan Ashley Cole sebelum perlawanan menentang Chelsea di Loftus Road.


Dalam satu kisah berkaitan, abang Anton, Rio juga mempertimbangkan mengambil tindakan sama terhadap bekas rakan sepasukannya di England apabila Manchester United berdepan Chelsea 28 Oktober ini.

Adik-beradik itu percaya mereka dikhianati oleh Cole apabila dia bersetuju untuk bercakap sebagai saksi pembelaan bagi John Terry yang berjaya dalam perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan bahawa dia mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman kepada Anton musim lalu.

Bek tengah, Anton akan berbincang dengan pengurus QPR, Mark Hughes ketika kelab itu cuba mengawal emosi pemain menjelang pertemuan yang berpotensi menjadi perlawanan menggemparkan di London.

Terry didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara QPR dan Chelsea pada 23 Oktober tahun lalu.

Tindakan Cole menyokong Terry mengecewakan Anton kerana mereka bersahabat baik.

Terry, kapten Chelsea yang dilucutkan gelaran kapten oleh Persatuan Bola Sepak England sebelum perbicaraan, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Westminster pada 13 Julai tetapi kini berdepan siasatan FA berhubung komen yang ditujukan terhadap Anton di padang.

Anton, Terry dan Cole akan bersemuka buat pertama kali sejak perbicaraan mahkamah, malam esok dan QPR mungkin membuat permohonan rasmi supaya sesi berjabat sebelum perlawanan ditiadakan.

Liga Perdana Inggeris, bagaimanapun mahukan ia dibuat seperti biasa biarpun mungkin mencetus ketegangan.

Cole dan Terry mengalami kecederaan pergelangan kaki, maka perkara itu mungkin boleh dielak buat kali ketiga.

Pertemuan pertama di antara QPR dan Chelsea selepas dakwaan Anton terhadap Terry adalah pusingan keempat Piala FA pada 28 Januari tetapi FA membatalkan sesi bersalaman selepas dikhuatiri seluruh skuad Rangers akan memulaukan Terry.

Liga Perdana Inggeris turut mengetepikan sesi berjabat sebelum perlawanan Chelsea-QPR pada 29 April atas permintaan Ferdinand dan wakil Terry.

Apa saja yang berlaku hujung minggu ini, perkara itu akan kembali tercetus bulan depan menjelang kunjungan Manchester United ke Chelsea.

Rio berkongsi pandangan dengan adiknya terhadap Cole sejak perbicaraan itu dan pertahanan Manchester United itu menghantar mesej Twitter, merujuk pemain bek kiri itu sebagai ‘choc ice’ iaitu satu istilah yang dikaitkan dengan perkauman.

Rio didapati bersalah kerana berkelakuan kurang sopan dengan denda 45,000 (RM223,384) oleh FA Inggeris.

Kini, bek tengah itu mempertimbangkan sama ada dia mahu bersalaman dengan Cole apabila United berkunjung ke Stamford Bridge, 28 Oktober ini.

Sebelum ini, Wayne Bridge enggan berjabat tangan dengan Terry di Stamford Bridge pada 2010 selepas Terry didapati mempunyai hubungan dengan bekas teman wanitanya, Vanessa Perroncel.

Pemain Liverpool, Luis Suarez tidak mengendahkan bintang Manchester United, Patrice Evra di Old Trafford, Februari lalu. Penyerang itu digantung lapan perlawanan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada Evra di Anfield, Oktober tahun lalu.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...