Biarpun diejek sepanjang permainan, John Terry menunjukkan ketahanan mental yang kuat apabila hadangannya pada minit terakhir membantu Chelsea mengelak kekalahan di White Hart Lane, dan mengikat Tottenham 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.Pertahanan tengah Chelsea itu menghadang rembatan tepat Emmanuel Adebayor pada masa kecederaan untuk memastikan pelawat pulang bersama satu mata dalam penampilan sulungnya sejak didapati bersalah melakukan serangan perkauma.
Keputusan seri membolehkan Spurs kekal di tangga ketiga liga dengan dua mata di depan Chelsea, namun ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.Chelsea pula ditinggalkan 11 mata di belakang pendahulu.
Sehari sebelum perlawanan, Terry menjadi tumpuan kerana didapati bersalah menghamburkan serangan perkauman terhadap pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand ketika pasukannya kalah di Loftus Road, Oktober lalu.
Bagaimanapun boss Chelsea, Andre Villas-Boas memuji ketua pasukannya itu kerana berjaya mengetepikan masalah di luar padang untuk mempamer persembahan cemerlang dan menyumbang kepada satu mata berharga.
"Sejak insiden itu, dia sudah semakin baik.Dia membesar dengan sikap yang bagus kerana baginya pasukan adalah keutamaan. Dia menunjukkan karakter yang kuat dan personaliti yang hebat."Usaha yang ditunjukkan malam ini (semalam) sangat luar biasa,'' ujar Villas-boas kepada Sky Sports sejurus tamat perlawanan.
Bagi pengurus Tottenham, Harry Redknapp pula, keputusan seri sudah cukup membuatkan dia gembira.
"Di penghujung saingan kami ada peluang, satu peluang yang sangat hebat tetapi apa pun, satu mata merupakan keputusan yang adil,'' katanya.
Tuan rumah memulakan perlawanan dengan sempurna apabila penyerang antarabangsa Togo, Adebayor meletakkan mereka di depan seawal minit kelapan dengan menghukum kealpaan Terry dan menendang bola menerjah jaring.
Bagaimanapun Chelsea tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Daniel Sturridge berjaya menyudahkan hantaran silang cantik daripada pemain pertahanan, Ashley Cole, pada minit ke-23.
Terry diejek penyokong Spurs ketika memanaskan badan sebelum perlawanan, namun dia mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong Blues yang berkunjung ke White Hart Lane.Dia diejek sekali lagi ketika Chelsea melakukan sepak mula, malah ejekan itu berterusan setiap kali dia menyentuh bola.
Namun, selain daripada kesilapan awal yang membenarkan Adebayor menyumbat gol pembukaan, bintang pertahanan England itu menunjukkan persembahan cemerlang untuk memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi lagi.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan