Sentuhan 'magis' Andres Iniesta ketika membantu Sepanyol mempertahankan kejuaraan Eropah membolehkan bintang tengah itu dipilih sebagai Pemain Terbaik Euro 2012 oleh Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), semalam.
Pemain Barcelona berusia 28 tahun itu memainkan peranan besar dalam membantu Sepanyol melakar kemenangan bersejarah 4-0 ke atas Itali pada perlawanan akhir, selain mempengaruhi corak serangan skuad La Roja sepanjang kejohanan.
Pemilihan Iniesta dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada 11 pakar bola sepak dari seluruh Eropah. Ini kali kedua berturut-turut pemain Sepanyol menerima penghormatan tersebut selepas Xavi Hernandez dipilih menjadi Pemain Terbaik Euro 2008.
Sementara itu penyerang Sepanyol, Fernando Torres pula diumumkan sebagai pemenang Kasut Emas penjaring terbanyak, mengetepikan pencabar terdekat, Mario Gomez dari Jerman.
Kejayaan Torres, 28, menghasilkan satu gol dalam perlawanan akhir menentang Itali menjadikan dia satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam dua final Euro.
Dia berkongsi tiga gol bersama Gomez dan empat pemain lain, Alan Dzagoev (Rusia), Mario Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali) dan Cristiano Ronaldo, namun penyerang Chelsea itu dipilih sebagai pemenang kerana lebih banyak membantu mencipta gerakan gol.
Bagi Iniesta, biarpun gagal menjaringkan gol dan hanya mencipta satu gerakan gol dalam perlawanan akhir, namun pemilihannya dibuat berdasarkan sumbangan keseluruhan pemain tersebut dalam kempen Euro 2012, kata UEFA dalam satu kenyataan.
Dia mencipta gerakan untuk gol penting Sepanyol yang disempurnakan Jesus Navas ketika pasukannya menumpaskan Croatia 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C.
Hantarannya kepada Cesc Fabregas pula membawa kepada gol pembukaan Sepanyol dalam saingan akhir apabila Fabregas kemudian melakukan hantaran silang untuk ditanduk David Silva.
Sebelum perlawanan akhir bermula, perancang utama Itali, Andrea Pirlo disebut-sebut sebagai calon Pemain Terbaik, namun semuanya berubah apabila skuad Azzurri dikejutkan dengan kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Euro.
"Memilih Iniesta memberi mesej jelas mengenai kreativiti, ketajaman dan sikap rendah diri yang perlu ada dalam pada pemain bola sepak," kata Pengarah Teknikal UEFA, Andy Roxburgh.
Iniesta, penjaring gol tunggal kemenangan Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia 2010 merupakan salah satu daripada 10 pemain Sepanyol yang berada dalam senarai 23 pemain skuad pilihan Eropah. Kapten England, Steven Gerrard turut tersenarai biarpun pasukannya gagal melepasi suku akhir.
"Gerrard bermain dengan amat... amat baik dan dia menunjukkan kualiti kepimpinan yang hebat,'' tambah Roxburgh.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan