17 Julai 2012

FA digesa hukum Terry

Persatuan Bola Sepak England (FA) digesa mengikut prosedur perjalanan kes seperti Luis Suarez dengan mengambil tindakan ke atas kapten Chelsea, John Terry kerana mengeluarkan kata kesat.


Terry yang juga pemain pertahanan antarabangsa England, didapati tidak bersalah atas dakwaan melemparkan kata-kata berbaur perkauman kepada Anton Ferdinand pada hari kelima dan terakhir sesi pendengaran di Mahkamah Majistret Westminster di London, Jumaat lalu.

Pada sesi itu, Terry mengaku mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atas Ferdinand ketika perlawanan antara Chelsea dan Queens Park Rangers pada 23 Oktober tahun lalu.

Begitupun dia tidak dikenakan sebarang hukuman oleh ketua hakim, Howard Riddle kerana tiada bukti kukuh menjurus kepada Terry mengeluarkan kata-kata itu.

Terry juga sering menegaskan dia hanya menggunakan ayat itu dalam bentuk pertanyaan kepada Ferdinand.

Suarez yang juga penyerang Liverpool dan Uruguay, dijatuhkan hukuman lapan perlawanan kerana menggunakan bahasa Sepanyol iaitu ‘negrito’ ketika bertengkar dengan pertahanan Manchester United, Patrice Evra musim lalu.

Suruhanjaya disiplin FA dalam kes Suarez mendapati pemain itu melanggar peraturan E3 (1) kerana menggunakan kata-kata kesat dan akibat kelakuannya itu, dia tidak mampu untuk mempertahankan dirinya.

Pihak suruhanjaya termasuk seorang peguam, Paul Goulding dalam kenyataan bertulis mengenai kes itu berkata: “Persoalannya mudah sama ada perkataan atau kelakuan itu berbentuk bahasa kesat atau hinaan dalam menentukan melanggar peraturan E3 (1).” 

Seorang aktivis anti perkauman, Lord Herman Ouseley mendesak FA serta kelab Inggeris berusaha memerangi penggunaan bahasa kesat.

“Saya rasa jika pihak kelab serta Persatuan Bola Sepak lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan kes seperti ini, barulah kita berjaya membuat perubahan,” katanya.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...