Juan Mata berharap melengkapkan musim panas yang sempurna dengan memenangi pingat emas Olimpik namun pasukan pilihan, Sepanyol sedar misi itu tidak semudah yang diramal sesetengah pihak.
Mata menuju ke Olimpik London selepas menjuarai tiga kejohanan tahun ini dengan menjulang Liga Juara-Juara dan Piala FA bersama Chelsea sebelum membantu Sepanyol mengekalkan Kejuaraan Eropah pada awal bulan ini.
Pengalaman itu tidak mungkin dapat dilupakan pemain berusia 24 tahun itu namun masih ada kejuaraan untuk diraih dengan Sepanyol apabila memburu emas Olimpik acara bola sepak selepas kali terakhir memenanginya di tanah air sendiri pada 1992 di Barcelona.
Skuad kendalian Luis Milla yang turut mengharapkan Jordi Alba, Javi Martinez, David De Gea dan Iker Muniain menjadi harapan untuk memberikan aksi terbaik di London namun Mata enggan terlalu yakin.
“Kami diramal menang pingat emas meskipun aksi belum bermula. Banyak pasukan lain yang ampuh dan mampu mencabar kejuaraan.
“Kami perlu ketepikan semangat yakin menang itu dan memberikan aksi terbaik kerana tahu cabaran yang bakal dihadapi amat sukar.” Mata, anggota skuad juara Piala Dunia 2010 Sepanyol turut berkata, kejayaan negaranya meraih gelaran demi gelaran hasil pengorbanan dan kerja keras semua pihak.
“Kami akan berusaha keras meneruskannya. Saya mengharungi musim yang hebat, jika menang, ia akan menjadi musim yang sempurna dan tak mungkin saya boleh minta pengalaman yang lebih hebat.”[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan