Roberto Di Matteo menggesa Ashley Cole supaya menandatangani kontrak
 baru bersama Chelsea selepas pertahanan England itu menjaringkan gol 
tunggal kemenangan ketika kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris 
mengatasi Stoke 1-0 di Stamford Bridge, kelmarin.
   Jaringan Cole lima minit sebelum tamat membantu juara Eropah, 
Chelsea berada tiga mata di depan pencabar mereka di puncak liga, ketika
 Stoke mengalami kekalahan sulung mereka musim ini.
Kontrak semasa pemain berusia 31 tahun itu berakhir hujung musim ini dengan Paris Saint Germain dilaporkan berminat untuk membelinya ketika pasaran perpindahan pemain Januari ini.
   Namun selepas menyaksikan Cole menjaringkan gol ketujuhnya buat 
Chelsea sejak tiba dari kelab pencabar London, Arsenal pada 2006, 
pengurus Blues, Di Matteo percaya adalah penting dia kekal di kelab itu 
lebih lama lagi.
“Ia antara Ashley dan kelab ini tapi saya mengesyorkan supaya dia kekal di sini selama mungkin,” kata pengurus berbangsa Itali itu.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku, Ashley tidak memaklumkan kepada saya mengenai situasi kontraknya. Tapi saya yakin mereka akan mencari jalan penyelesaian kerana kedua-dua pihak gembira untuk berbincang.” Sudah lebih dua tahun sejak kali terakhir Cole menemui jaringan ketika menang besar 8-0 ke atas Wigan namun kali ini sumbangannya amat bermakna.
   Stoke mengecewakan Chelsea hampir sepanjang perlawanan dan nyaris 
memecah kebuntuan pada babak pertama apabila tandukan Jon Walters 
menggegar palang gol.
Sekalipun memulakan perlawanan dengan trio serangan, Juan Mata, Eden Hazard dan Oscar di belakang penyerang tunggal, Fernando Torres buat kali pertama digandingkan bersama, Chelsea mungkin terpaksa menggigit jari meraih keputusan seri tanpa jaringan kali kedua berturut-turut.
   Namun penyudah hebat Cole pada minit ke-85 selepas bola singgah di
 kakinya memastikan Blues meraih kemenangan keempat dalam lima 
perlawanan musim ini.
“Saya fikir kami hanya menunggu masa untuk menjaringkan gol,” kata bekas pemain tengah Chelsea dan Itali, Di Matteo.
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan