11 September 2012

Lampard yakin tanpa Terry

Frank Lampard yakin ketiadaan John Terry pada perlawanan menentang Ukraine awal pagi esok tidak menjejaskan hasrat England untuk mengekalkan rekod bersih 100 peratus bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2014.


Skuad kendalian Roy Hodgson dikejutkan dengan berita kecederaan buku lali dialami Terry ketika menewaskan Moldova 5-0 di Chisinau, minggu lalu yang memaksa pemain pertahanan Chelsea itu direhatkan.

Ketiadaan tonggak utama itu satu kehilangan besar apatah lagi Terry bukan satu-satunya bintang England yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Rakan sepasukan Terry di Chelsea, Ashley Cole turut tidak dapat disenaraikan dalam pertemuan menentang Ukraine manakala Wayne Rooney, Andy Carroll dan Adam Johnson juga terpaksa disisihkan.

Semalam, bintang Arsenal Theo Walcott juga terpaksa diketepikan kerana tidak sihat dan digantikan bintang muda Liverpool, Raheem Sterling Ketiadaan mereka bagaimanapun tidak menghadirkan masalah ketika menentang Moldova yang menduduki ranking ke-141 dunia Fifa.

Ukraine bagaimanapun mampu memberi lebih ancaman namun pemain tengah Chelsea, Lampard yang menjaringkan dua gol ketika membelasah Moldova tetap yakin England mempunyai kekuatan untuk meraih satu lagi kemenangan.

Gary Cahill dijangka mengisi tempat Terry manakala pemain Everton, Leighton Baines yang menjaringkan gol antarabangsa pertama menentang Moldova kekal menggantikan posisi Cole.

“Ia pasti mengecewakan Terry dan juga pasukan kerana dia boleh memberi inspirasi kepada pemain lain dan pemain pertahanan tengah yang hebat,” kata Lampard.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...