4 Januari 2012

Chelsea kembali ke rentak sebenar - AVB

Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas menegaskan bahawa pasukannya sudah kembali ke saingan merebut takhta Liga Perdana selepas mengutip tiga mata penting hasil kemenangan 2-1 ke atas Wolves di Molineux, semalam.Jaringan lewat dramatik Frank Lampard pada minit ke-89 sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan ke atas Villas-Boas yang tidak senang duduk menyaksikan pasukannya berhempas pulas sebelum menang.

Meskipun lapan mata ketinggalan di belakang pendahulu iaitu kedua-dua kelab Manchester yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, Villas-Boas yang sebelum ini mengangkat bendera putih merasakan peluang Chelsea muncul juara tetap ada.

Perasaan itu didorong dengan kekalahan mengejut yang menimpa Manchester City dan Manchester United pada hujung minggu lalu.

"Jika kita meneruskan rentak kemenangan untuk lima atau enam perlawanan lagi, yang saya fikir kita mampu, maka kita masih berupaya bersaing merebut gelaran liga.

"Bulan Disember membuktikan pasukan-pasukan utama boleh tercicir mata," kata Villas-Boas.

Sementara itu, hero Chelsea, Lampard mengakui dirinya cukup bertuah untuk mengelak dikenakan kad merah ekoran asakan berbahaya terhadap Adam Hammil.

"Secara jujur, saya tidak berniat untuk mengapa-apakannya, cuma terjahan saya agak lewat. Saya bernasib baik untuk kekal di padang dan sebaik insiden itu, saya telah pergi kepadanya untuk memohon maaf."

Chelsea membuka jaringan menerusi pemain tengah Brazil, Ramires sebelum gol penyamaan Stephen Ward pada minit ke-84 dilihat hampir pasti mampu mencuri satu mata berharga untuk tuan rumah.

Selepas hanya meraih tiga mata menerusi empat perlawanan terakhirnya, kemenangan semalam adalah suntikan semangat untuk skuad The Blues yang dianggap pencabar kejuaraan pada awal musim tetapi perkembangan semasa menceritakan sebaliknya.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...