27 April 2011

Champion league:Mourinho hantui Barcelona



Jose Mourinho


MADRID - Jose Mourinho sudah bersedia untuk berkunjung ke Barcelona sekali lagi bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini, dan kali ini kunjungan tersebut bersama pasukan barunya, Real Madrid.
Keupayaan Real menewaskan Barcelona pada final Piala Raja Sepanyol minggu lalu, masih menghantui Barca, sekali gus menjadi petanda bahawa perlawanan sengit bakal mewarnai pertemuan "El Classico" di antara dua gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Mourinho, jurulatih yang berasal dari Portugal itu pernah membimbing Inter Milan menentang Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara, tahun lalu sebelum membawa kelab Itali itu muncul juara.
Mourinho juga pernah menentang Barcelona sebanyak tiga kali ketika bersama gergasi Liga Perdana England, Chelsea.
Sementara itu tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique mengakui, Real mempunyai kelebihan dan pasti akan mengunakan sepenuhnya untuk memenangi perlawanan hari ini.
"Adalah perkara biasa mereka akan memanfaatkan segala kelebihan, terutama memperkukuhkan bahagian pertahanan, selain berusaha untuk menghentikan hantaran bola pasukan kami.
"Ini adalah kelebihan yang ada pada skuad Mourinho, mereka juga mempunyai pemain yang hebat di bahagian serangan,'' kata Pique.
Kejayaan Real menamatkan rekod lima kemenangan berturut-turut yang dipegang Barcelona ke atas mereka pada Piala Raja minggu lalu juga mampu menamatkan aura kehebatan skuad bimbingan Pep Guardiola itu.
Real membuktikan mereka mampu menyaingi musuh tradisi itu selepas meraih semangat daripada kejuaraan pertama.
Hari ini, Mourinho dijangka mengunakan khidmat Lassana Diarra di bahagian tengah, menggantikan Sami Khedira yang belum pulih daripada kecederaan.
Barcelona juga diramal menggunakan formasi biasa 4-3-3, selain meletakkan rangkaian Xavi, Andres Iniesta dan Lionel Messi untuk menggugat benteng lawan.[utusan]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...